Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Portal MalaysiaNow boleh diakses semula
Diterbitkan:  Jun 29, 2023 9:34 PM
Dikemaskini: 3:19 PM

Kemungkinan sekatan di portal politik MalaysiaNow nampaknya telah ditarik balik hari ini.

Ini selepas sebilangan pengguna Celcom dan Maxis melaporkan mereka tidak dapat mengakses laman web itu.

Bagi pengguna yang terjejas, percubaan untuk mengakses tapak web akan menyebabkan penyemak imbas web akhirnya memaparkan ralat "sambungan tamat masa".

"Walaupun kami lega kerana laman sesawang itu boleh diakses semula oleh rakyat Malaysia, kami tidak akan berhenti sehingga kami mengenal pasti punca di sebalik sekatan ini yang menjejaskan beberapa ISP utama.

“Dalam dunia digital, segala-galanya boleh dijejaki dan kita akan tahu tidak lama lagi," kata editor MalaysiaNow Abdar Rahman Koya pada satu kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dilaporkan berkata dia mengambil maklum laporan senario ‘misteri’ terhadap laman web MalaysiaNow yang tidak dapat diakses oleh sesetengah pengguna internet.

“Tiada sebarang arahan untuk menyekat mana-mana media atau portal berita,” kata Fahmi.

Menurut Abdar Rahman, laman web itu tidak boleh diakses sekurang-kurangnya oleh pengguna Celcom dan Maxis sejak petang kelmarin.

Abdar Rahman juga berkata pakar teknikalnya tidak menemui aktiviti luar biasa pada pelayan web atau berlaku serangan siber.

Sementara itu, kedua-dua ISP yang terjejas dilaporkan memberitahu portal berkenaan tiada perubahan dibuat pada pihak mereka yang boleh menghalang pengguna daripada mengakses laman web.

Sementara itu, ujian Malaysiakini sendiri melalui rangkaian Maxis menggunakan alat ujian ketersambungan yang disediakan oleh Open Observatory of Network Interference (OONI) menunjukkan bahawa laman web itu disekat terhadap Maxis melalui gangguan DNS.

Ubahan DNS merupakan kaedah biasa yang digunakan di Malaysia untuk menapis kandungan dalam talian yang ‘tidak diingini’ termasuk pornografi, perjudian dalam talian dan laman web pelampau atau pengganas.

Kaedah sama juga telah digunakan untuk menyekat laman berita yang sah pada masa lalu, termasuk laman web keputusan pilihan raya Malaysiakini semasa pilihan raya umum ke-14 pada 2018.

Bagaimanapun, ketika itu pengguna internet dihalakan kepada notis kerajaan yang menyatakan bahawa laman web itu telah disekat oleh undang-undang, dan bukannya mengakibatkan dalam ralat "sambungan tamat masa".

DNS (perkhidmatan nama domain) seumpama buku alamat internet; ia membantu untuk mengarahkan komputer dan peranti lain ke pelayan yang menjadi hos tapak web yang mereka cari.

Mengganggu DNS boleh mengakibatkan komputer tersalah hala ke tempat lain di internet. Ini boleh dielakkan dengan menukar tetapan DNS komputer atau penghalanya untuk menggunakan DNS lain yang tidak menyesatkan hala lalu lintas atau dengan menggunakan VPN.


BACA BERKAITAN:

Kajian sahkan laman Malaysiakini disekat

Serangan siber, Malaysiakini tak boleh diakses


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS