Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lainlah kalau wanita itu tidak berpakaian, kata Tiong
Diterbitkan:  Jun 29, 2023 3:37 PM
Dikemaskini: 7:47 AM

Seorang lagi menteri kabinet tampil membidas keputusan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) kerajaan negeri Kelantan, pimpinan PAS untuk mendenda seorang wanita bukan Islam kerana memakai seluar pendek semasa berada di kedainya sendiri.

Sambil meminta kepemimpinan PAS belajar daripada negara Islam seperti Arab Saudi, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, tindakan itu memberi kerisauan dan impak besar kepada penduduk tempatan dan boleh menjejaskan sektor pelancongan negara. 

“Saya sekali lagi ingin mengingatkan kepada semua pihak, tidak kira parti, agama atau bangsa sekali pun bahawa Malaysia sebuah negara bermasyarakat majmuk. 

“Lainlah kata kalau wanita tersebut tidak berpakaian, tambahan pula beliau pada ketika itu berada di dalam premis perniagaan sendiri, bukannya di kawasan tumpuan awam seperti bangunan kerajaan yang memerlukan orang awam mematuhi kod etika berpakaian,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Pada 26 Jun lalu, Malaysiakini melaporkan seorang wanita bukan Islam di Kelantan dikompaun kerana berseluar pendek.

Wanita 35 tahun yang juga pemilik kedai pakaian dikompaun susulan pemeriksaan mengejut MPKB di kedainya di Jalan Merbau, Kota Bahru.

Mengulas lanjut, Tiong berkata, Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan bahawa ‘Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.’ 

“Perkara 8 (Perlembagaan Persekutuan) juga jelas menunjukkan bahawa kesamarataan dilindungi dan mengharamkan sebarang diskriminasi termasuk atas alasan agama, keturunan, tempat lahir mahupun jantina. 

“Ini mencerminkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang agama dan kaum yang aman sentosa. 

“Sekali lagi ditegaskan bahawa saya sebagai golongan bukan Islam tidak sesekali menafikan atau mempersoal mana-mana agama atau kaum di negara ini. 

“Sebagai warganegara Malaysia yang cintakan tanah airku, saling hormat menghormati, meraikan kepelbagaian serta saling berkasih sayang, kita perlu mendukung Perlembagaan Persekutuan yang menjadi asas kepada kekuatan Malaysia selama ini,” katanya lagi.

Nga Kor Ming

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming juga melahirkan kebimbangannya dengan tindakan yang dikatakan melanggar kebebasan yang dijamin oleh perlembagaan.

Bagaimanapun Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengingatkan orang bukan Islam bahawa mereka mesti berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati.

Abdul Hadi Awang

Katanya, ini juga termasuk mematuhi arahan berpakaian menutup aurat yang diwajibkan kepada penganut Islam sambil mengingatkan supaya tidak bersikap liberal sehingga “tidak ada rasa malu seperti binatang yang tidak berakal dan tidak bermaruah” seperti yang  melanda negara Barat sekarang.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS