Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hadi setuju bukan Islam mesti berpakaian sopan
Diterbitkan:  Jun 29, 2023 12:30 PM
Dikemaskini: 4:30 AM

Presiden PAS Abdul Hadi Awang memuji orang bukan Islam yang berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati.

“(Ada di antara seteru kita) yang mereka tentang juga termasuklah arahan berpakaian menutup aurat yang diwajibkan kepada penganut Islam.

Abdul Hadi Awang

“Adapun kalangan bukan Islam pula mesti berpakaian sopan mengikut sifat kemanusiaan yang bermaruah dan dihormati oleh semua agama serta bangsa yang beradab. 

“Tidak bersikap liberal sehingga tidak ada rasa malu seperti binatang yang tidak berakal dan tidak bermaruah yang sedang melanda negara Barat sekarang,” kata Hadi.

Dalam catatannya menerusi  "Minda Presiden" di laman Facebook, dia menuduh pesaing Perikatan Nasional sebagai Islamofobia kerana cuba melabelkan kejayaan gabungan itu sebagai "gelombang hijau".

Secara khusus menjadikan DAP sebagai sasaran yang didakwanya sebagai penentang utama dasar Islam PAS, khususnya di negeri-negeri yang ditadbir oleh PN.

“Malah campur tangan DAP dalam urusan pengharaman arak di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, walhal ia dikuatkuasakan kepada penganut Islam sahaja dan dikecualikan penganut bukan Islam.

“Bahkan, pengharaman judi yang juga disokong oleh sebahagian bukan Islam tidak menyenangkan DAP dan angkatannya.

“Adakah semua ini termasuk alasan bahaya gelombang hijau?” soalnya.

Hadi juga menuduh beberapa media sebagai “tidak ada rasa malu” mencari dan memaparkan segala kelemahan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS.

Perbuatan (pertubuhan media ini) lebih dahsyat daripada binatang yang tidak berakal, kerana binatang pun memilih buah yang baik-baik untuk dimakan. 

“Adapun mereka sengaja mencari isu-isu buruk yang berlaku akibat kezaliman hasil sekatan terhadap negeri tanpa menghormati prinsip demokrasi yang menjadi pilihan rakyat dan konsep federalisme mengikut Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS