Pemuda berusia 21 tahun itu membantu seorang pembantu rumah, yang telah membesarkannya sejak berusia empat tahun, melarikan diri dari rumah ibunya di Bintulu, Sarawak.
Menurut Dayak Daily, warga Indonesia itu memberitahu pemuda berkenaan yang pulang kerana cuti belajar dari Taiwan.
Konsul Jenderal Republik Indonesia Di Kuching, Raden Sigit Witjaksono berkata pembantu rumah yang dikenali sebagai Marlia (gambar judul, atas), kini berusia 32 tahun, mendakwa dia dianiaya dan tidak dibayar gaji sejak 17 tahun lalu.
Raden Sigit (gambar, bawah) juga berkata Marlia telah memasuki Malaysia pada 2004 melalui ejen dengan janji akan dibayar RM600 sebulan.
Berdasarkan maklumat ini, bermakna dia berusia 13 tahun ketika tiba di Malaysia.
“Daripada siasatan awal kami, Marlia nampaknya melarikan diri dengan bantuan anak majikannya, yang dibesarkannya sejak berusia empat tahun,” kata Raden.
“Anak majikannya, yang kini berusia 21 tahun, belajar di Taiwan. Apabila dia pulang ke Bintulu untuk bercuti, Marlia memberitahunya bahawa dia tidak tahan lagi,” tambahnya.
Apabila mengetahui nasib pembantu rumah itu, Dayak Daily melaporkan lelaki berkenaan telah membantu Marlia melarikan diri dari rumah ibunya manakala jirannya menunggu di luar untuk membawanya pergi.
Majikan nafi dakwaan
Marlia juga mendakwa dia tidak dibenarkan meninggalkan rumah majikannya atau berkomunikasi dengan keluarganya di Indonesia sejak 2006.
Susulan rundingan, Raden berkata suami majikan pada mulanya bersetuju untuk membayar Marlia RM130,000 tetapi kemudiannya menafikan dakwaan pekerja rumah itu.
“Sejurus menerima kes itu, satu pasukan dari konsulat di Kuching pergi ke Bintulu untuk mengesahkan kes berkenaan. Sesi mediasi selama empat jam telah diadakan bersama suami majikan, polis dan Jabatan Buruh.
“Suami majikan pada mulanya mengakui dakwaan Marlia dan kesalahan mereka terhadapnya. Selepas seorang pegawai Jabatan Buruh membuat beberapa pengiraan, dia bersetuju untuk membayar gaji yang belum dibayar kira-kira RM130,000.
“Kami mahu menyelesaikan kes ini secara baik. Walau bagaimanapun, perkara tidak berjalan lancar seperti yang kami harapkan. Sekembalinya ke rumah dan berbincang dengan isterinya, keadaan bertukar apabila majikan Marlia menafikan sebarang salah laku atau berhutang dengannya sebarang gaji yang tidak dibayar,” tambahnya.
Susulan itu, Raden berkata pihak konsulat telah membuat dua laporan kepada polis dan Jabatan Tenaga Kerja.
Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM)
Marlia telah dibawa ke pusat perlindungan sementara di Kuching, di mana dia akan tinggal selama 21 hari sementara menunggu siasatan lanjut.