Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Korban di luar negara jejaskan penternak tempatan di Aidiladha

Korban menjadi ibadah yang dinanti-nantikan setiap kali menjelang Hari Raya Aidiladha, dan rata-rata umat Islam di Malaysia akan membuat perbandingan harga haiwan korban berdasarkan kemampuan mereka.

Kini, ada juga yang memilih untuk melaksanakan korban di luar negara kerana harganya jauh lebih murah berbanding di Malaysia.

Namun, bagaimana pula dengan nasib para penternak tempatan jika semakin ramai umat Islam yang ingin berbuat demikian?

Menurut penternak lembu Alif Aiman Osman, jualan haiwan ternakannya untuk Aidiladha tahun ini merosot kira-kira 50 peratus berbanding tahun lalu.

“Setakat ini yang kita ada di ladang, lembu lebih kurang 50 ekor dan kambing 350 lebih ekor lebih. Kalau sebelum ini banyak jualan tapi tahun ini boleh dikatakan kurang 50 peratus dari tahun lepas.

“Saya tak nafi harga lembu memang agak tinggi tahun ini tapi kerana kos jagaan pun tinggi dengan kenaikan harga dedak dan kenaikan kos korban yang secara tidak langsung mempengaruhi harga lembu tahun ini,” kata pemuda berusia 25 tahun itu ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berpendapat jualan haiwan ternakan akan terus merudum jika kos jagaan dan kos korban tidak dikawal.

“Jika ada penurunan harga dedak atau kos korban, harga lembu pun akan berkurang pada kadar yang munasabah untuk pembeli," katanya yang memiliki ladang ternakan di Kota Tinggi, Johor.

Semalam, Prof Madya di Jabatan Perakaunan dan Kewangan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Amanuddin Shamsuddin dalam rencananya membangkitkan kemerosotan jualan haiwan ternakan yang dihadapi penternak atau pengusaha lembu menjelang Hari Raya Aidiladha tahun ini.

Antara faktor yang dibangkitkannya adalah harga lembu yang meningkat ekoran kenaikan harga makanan ternakan seperti dedak, menyebabkan ramai yang beralih ke luar negara untuk melaksanakan ibadah itu.

“Ada tempat-tempat di luar negara seperti Kemboja, Laos, harga lembu lebih murah hanya dalam RM350 jika dibandingkan dengan Malaysia yang berharga RM750 untuk satu bahagian," kata dekan Uniten Business School itu.

Penternak lembu di Sungai Besar, Selangor Suhaila Shahrin, 30 mengadu nasib yang sama dengan Alif tentang kemerosotan jualan untuk tahun ini.

“Kalau tahun lepas, kita boleh jual 200 ekor tapi tahun ini dapat jual dalam 100 ekor sahaja.

“Selalunya kalau dua minggu sebelum raya, memang habis (lembu) tapi tahun ini tidak pula,” katanya.

Bagi Muhammad Omar, 28, yang mengusahakan ternakan lembu sejak tiga tahun lalu, dia terpaksa meletakkan harga yang lebih murah demi pulang modal.

“Saya masih tiada jualan walaupun harga yang saya letak lebih murah daripada pasaran, tapi masih tiada yang beli.

“Pilihan untuk melakukan korban di luar negara sedikit merencatkan penjualan dalam negara sendiri.

"Boleh dilihat sekarang banyak lembu yang ada belum terjual kerana harga lebih murah di luar negara,” katanya yang berasal dari Perak.

Baca: ULASAN | Penternak lembu jadi ‘korban’ ekonomi semasa


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS