Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid jamin MCA, MIC diberi kerusi boleh menang dalam PRN
Diterbitkan:  Jun 27, 2023 9:11 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan MCA dan MIC akan diberikan kerusi dalam PRN yang akan diadakan.

Ahmad Zahid juga berkata calon-calon dari dua parti itu akan diberi kerusi yang boleh dimenangi mereka.

“Kita hampir di penghujung untuk memuktamadkan pengagihan kerusi dalam kalangan BN dan PH. Saya (juga) ingin maklumkan MCA dan MIC juga ada tempat dan ada kerusi kita berikan kepada mereka untuk bertanding.

“Saya harap jika ada sebarang desas-desus mengatakan ada peminggiran dalam kalangan komponen BN, saya harap ia dipadamkan," katanya ketika sidang media selepas pelancaran portal TVET Madani, seperti dipetik Utusan Malaysia.

Terdahulu hari ini, Malaysiakini melaporkan Timbalan Presiden MIC M Saravanan menafikan parti itu diperuntukkan kerusi DUN di Selangor dalam PRN ini.

Dia berkata laporan sebelum ini yang menyatakan parti itu telah diberikan kerusi adalah tidak tepat.

"MIC sebelum ini minta DUN Sentosa yang (kita) mempunyai peluang untuk menang. Namun, setelah rundingan antara PH dan BN, kerusi itu dikekalkan dengan PKR," katanya.

Kenyataan itu setelah Pengerusi MIC Selangor MB Raja berkata parti itu akan bertanding dalam PRN kali ini selepas satu mesyuarat BN negeri di Shah Alam.

Pengagihan kerusi antara PH dan BN di Selangor masih dalam perbincangan namun Malaysiakini difahamkan sekurang-kurangnya 11 kerusi diperuntukkan kepada BN setakat ini.

Sementara itu, Zahid berkata tempoh perbincangan itu dimuktamadkan bergantung kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Bergantung kepada tarikh perdana menteri, saya fikir tidak terlalu lama, bila saja waktu sesuai untuk kami muktamadkannya, saya yakin kita akan memuktamadkan pada tarikh ditentukan perdana menteri,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS