Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Politik ini habis duit, bukan untuk kaya' - Tuan Ibrahim kenang nasihat Nik Aziz
Diterbitkan:  Jun 27, 2023 8:46 PM
Dikemaskini: 12:46 PM

Selepas lebih sedekad menjadi pensyarah kanan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tuan Ibrahim Tuan Aman perlu membuat keputusan untuk terjun ke bidang politik secara penuh masa atau tidak.

Ketika itu, timbalan presiden PAS itu meminta nasihat bapa saudaranya, tidak lain dan tidak bukan bekas mursyidul am parti itu, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika mengimbas kembali perbualan mereka - yang terjadi menjelang PRU 1999 - dalam satu ceramah di Shah Alam, semalam.

“Saya jumpa Almarhum Tok Guru Nik Aziz. Minta nasihat, kebetulan pak saudara. Saya kata 'tok guru tolong nasihatkan saya parti arahkan bertanding. (Dia kata) Tak apa insya-Allah dan nasihatkan saya dua perkara.

“Yang pertama masuk politik jangan niat nak jadi kaya. Nak kaya (pergi) meniaga, politik (ini untuk) perjuangan. Kita akan habis duit, habis masa, tenaga kita, tak macam orang lain," katanya seperti dipetik Harakahdaily.

Tuan Ibrahim Tuan Man

Menurutnya, Nik Aziz memberitahunya agar bersedia dengan "ujian fitnah, serangan, penghinaan, kutukan" selepas masuk politik.

“Yang kedua, berjalan di mana-mana biar ada duit dalam poket, boleh tolong orang lain waktu dia tengah susah.

"Ini dua pesanan daripada Almarhum Tok Guru Nik Aziz. Sebab itu bagi kita politik ini bukan medan untuk cari kekayaan peribadi.

"Ya, bukan medan untuk kita kaut keuntungan. Politik ialah perjuangan. Perjuangan kita untuk sama-sama dengan rakyat yang susah...," katanya lagi.

Tuan Ibrahim bertanding di DUN Jengka pada PRU 1999 dan menang dalam pilihan raya tersebut. Dia kini menjadi ahli parlimen Kubang Kerian.

PAS dan gabungannya, PN kini dalam usaha merampas Selangor yang ditadbir PH sejak 2008.

Selangor serta lima lagi negeri - Negeri Sembilan, Kedah, Penang, Terengganu and Kelantan - bakal mengadakan pilihan raya negeri tidak lama lagi, di mana PN dijangka memberi saingan sengit terhadap kerjasama PH dan BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS