Umno Bahagian Kota Raja melushksn hasrat agar Tengku Zafrul Abdul Aziz diangkat sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) bagi kerusi dewan undangan negeri (DUN) Sungai Kandis.
Timbalan ketua bahagiannya Abdul Raof Mokhtar berkata, sebagai seorang yang berdedikasi dan berintegriti serta berpengalaman dalam pentadbiran dia percaya Tengku Zafrul mempunyai misi dan visi yang jelas untuk membawa perubahan kepada rakyat.
“Saya yakin Tengku Zafrul akan berusaha gigih untuk memajukan kawasan DUN yang beliau tandingi dan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat.
“Hasrat ini selari dengan semangat kerjasama kerajaan perpaduan yang dibentuk di peringkat pusat. Ketika ini di Parlimen Kota Raja, wakil-wakil rakyatnya datang daripada PKR, Amanah dan DAP.
“Adalah wajar sekiranya kerusi DUN Sungai Kandis hampir 70 peratus terdiri daripada pengundi Melayu diwakili Umno,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan nama menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) itu disebut-sebut akan diangkat sebagai calon dalam PRN Selangor nanti.
Sebelum ini namanya turut dikhabarkan mungkin akan dicalonkan di DUN Kuang.
Untuk rekod Sungai Kandis boleh dianggap kawasan selamat buat parti kerajaan perpaduan. Sejak merampasnya dari BN pada 2008, PKR berjaya mengekalkan kerusi tersebut sehingga kini.
Dalam tiga PRU terakhir yang dilangsungkan, PKR memenangi kerusi berkenaan dengan kelebihan lebih 10,000 undi.
Wakil rakyat bagi kerusi tersebut sekarang ialah Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang memenanginya melalui pilihan raya kecil pada 2018 ekoran kematian penyandang ketika itu, Shuhaimi Shafiei.
Sementara itu Abdul Raof berkata hasrat Umno Bahagian Kota Raja itu harus dizahirkan dan dipertimbangkan oleh kepimpinan gabungan BN-PH demi memberi keyakinan rakyat kepada kerajaan negeri yang akan dibentuk selepas ini.
“Umno Bahagian Kota Raja menyokong penuh Tengku Zafrul sebagai calon DUN Sungai Kandis agar dapat mewujudkan perubahan yang diimpikan bersama.
“Bersama Tengku Zafrul, kita mampu mencapai masa depan yang lebih cerah dan sejahtera untuk semua,” katanya.