Paling Popular
Terkini

Mahkamah Majistret Petaling Jaya membebaskan 17 individu tanpa memanggil mereka membela diri terhadap pertuduhan merusuh di Kuil Sri Maha Mariamman pada 2018.

Tertuduh-tertuduh itu ialah Akmal Izzat Azi, Norul Ismawi Islahuddin, Hasneezam Shah Samsudin, Saifullah Abdullah, Riduan Sekh Ruslan, Irwan Noordin, Khairi Abdul Rashid, Rozaihan Zakaria, Qayyum Faisal, Ashraf Faizal, Absal Eastrie Abdullah, Jalil Talib, Khairol Anuar Zabidi, Zamri Said, Shukri Razali, Nor Azmi Abdul Ghani dan Shahril Danniel Sajeel.

Berumur antara 24 hingga 47 tahun, mereka dituduh bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan memiliki senjata berbahaya. 

Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam dua hingga lima pagi pada 26 Nov 2018.

Selepas kejadian, menteri dalam negeri ketika itu Muhyiddin Yassin berkata polis mendapati kumpulan itu diupah oleh peguam yang bekerja untuk pemaju yang memiliki tanah di situ.

Dalam keputusan hari ini, majistret Iskandar Zainol berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap insiden itu.

Ketika dihubungi, peguam 17 individu itu S Kirthiraj berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal mengenal pasti identiti tertuduh kerana kejadian berlaku pada awal pagi.

Katanya, mahkamah mendapati, bukan hanya tiada pengenalan positif oleh saksi, keterangan mereka semasa perbicaraan peringkat pendakwaan juga tidak tidak dapat dipercayai dan tidak konsisten.

Kirthiraj berkata majistret mendapati tiada senjata diserahkan kepada mahkamah sebagai bukti seperti disebut dalam pertuduhan. 

Ia menunjukan bahawa ia dikutip daripada tempat kejadian oleh saksi dan bukan dirampas daripada tertuduh, tambahnya.

Peguam juga berkata tiada laporan forensik terhadap senjata yang diserahkan kepada mahkamah dan tiada pengecaman tertuduh untuk siasatan polis.

Tujuh belas individu itu dituduh pada December 2018. 

Perbicaraan bersambung pada tahun seterusnya dengan pihak pendakwaan memanggil 20 orang saksi.

Insiden itu disusuli oleh rusuhan lain yang membawa kepada kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS