Pengerusi Umno Selangor, Megat Zulkarnain Omardin masih belum pasti jika dia akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia pada pilihan raya negeri (PRN) Selangor akan datang.
Bagaimanapun, Megat Zulkarnain ketika ditemui selepas mesyuarat jawatankuasa BN negeri Selangor di bangunan Umno Selangor, Shah Alam, lewat malam tadi meminta wartawan supaya tidak membuat sebarang spekulasi.
“Masa akan menentukan. Jangan dengar cakap dia orang (desas-desus tanding DUN Gombak Setia).
“Kerusi ini akan kita namakan, masa akan tiba,” katanya ringkas.
Megat Zulkarnain berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus dia akan bertanding di DUN Gombak Setia.
Pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 lalu Megat Zulkarnain adalah calon BN Parlimen Gombak.
Dia yang juga ketua Umno Bahagian Gombak tewas di tangan Menteri Besar Amirudin Shari yang merampas kerusi Parlimen Gombak daripada penyandangnya, Azmin Ali yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Amirudin menewaskan empat calon dengan majoriti undi 12,729 dengan 72,267 undi keseluruhan, berbanding Azmin yang memperoleh 59,538 undi.
Amirudin turut mengatasi Megat Zulkarnain yang meraih 30,723 undi.
“Antara perkara yang telah diputuskan dalam mesyuarat tersebut adalah untuk menamakan sekurang-kurangnya tiga orang calon yang mesti diputuskan dalam mesyuarat bahagian masing-masing.
Jadi, sebentar tadi saya telah minta kepada semua 22 bahagian untuk menamakan calon-calon,” katanya.
Menurut Megat Zulkarnain, walaupun secara tidak rasminya PH dan BN telah berbincang kerusi-kerusi yang akan ditandingi oleh Umno namun pihaknya harus bersedia dengan segala kemungkinan.
“Kita perlu membuat persediaan atas sebarang kebarangkalian, jika ada keperluan untuk kita menamakan calon maka tidaklah kita tercari-cari,” jelasnya.