Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Minta nombor telefon': Kenyataan Anwar disalah tafsir - menteri
Diterbitkan:  Jun 26, 2023 12:50 PM
Dikemaskini: 4:50 AM

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun yang mengundang kontroversi, telah disalah tafsir.

Menurut laporan Free Malaysia Today, Fadhlina hanya berkata demikian ketika diminta pemberita untuk mengulas perkara itu hari ini.

Kenyataan Anwar itu dibuat dalam satu acara di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai di Negeri Sembilan semalam.

Ketika itu, Anwar pada mulanya memuji kepetahan pelajar tersebut bercakap dan mengemukakan soalan dengan kemas.

"Kalau saya muda saya dah minta nombor telefon dah," katanya kemudian secara berseloroh.

Dia kemudian menjelaskan kepada hadirin yang dia hanya bergurau dan isterinya, Wan Azizah Wan Ismail menonton siaran langsung acara tersebut.

Namun, peristiwa itu mengundang kecaman daripada kepimpinan Muda dan Biro Undang-Undang dan Perlembagaan Bersatu yang menyifatkan kenyataan Anwar sebagai tidak wajar dan bernada seksis.

Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif berkata Anwar patut membuat permohonan maaf secara terbuka.

“Ini seorang yang gemar menekankan 'wacana bertamadun' di setiap forum dan mimbar. Tetapi wacana bertamadun nampaknya tidak dilakukan dalam kesempatan ini,” katanya.

Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz pula berkata Anwar selaku perdana menteri sepatutnya menunjukkan contoh yang baik dan maka perlu meminta maaf.

"Sebab tu baik untuk dia mohon maaf sebagai teladan baik untuk lelaki lain seperti kamu untuk faham yang benda ni tak elok," ciapnya di Twitter.

Dalam ciapan lain, Amira berkata, sekiranya Anwar kagum dengan gadis berkenaan, dia boleh memuji tanpa membuat kenyataan yang menggalakkan sikap melihat wanita sebagai objek.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS