Timbalan Presiden Muda Aisya Abdul Aziz berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan memberikan teladan yang baik sekiranya tampil memohon maaf atas gurauannya yang meremehkan wanita.
Amira berkata pihak yang menganggap kejadian itu sebagai "hanya gurauan" kebanyakannya "lelaki lebih tua" yang tidak faham mengapa wanita tidak tersenyum atau ketawa apabila mendengar kenyataan sedemikian.
"PMX (Anwar) mungkin berseloroh dan tak ada niat jahat. But it is still done in bad taste (Tapi ia tetap kenyataan yang tidak wajar).
"Sebab tu baik untuk beliau mohon maaf sebagai teladan baik untuk lelaki lain seperti kamu untuk faham yang benda ni tak elok," katanya dalam ciapan balas kepada pengguna Twitter lain yang menegaskan Anwar hanya berseloroh.
Dalam ciapan lain, Amira berkata, sekiranya Anwar kagum dengan gadis berkenaan, dia boleh memuji tanpa membuat kenyataan yang menggalakkan sikap melihat wanita sebagai objek.
Semasa majlis bersama golongan muda di Nilai, Negeri Sembilan, semalam - pelajar Tingkatan Enam yang memperkenalkan dirinya sebagai Adriana, bertanya kepada Anwar dua soalan tentang bagaimana generasi muda boleh membantu Malaysia menjadi negara kelas pertama dan rancangan kerajaan berhubung nilai ringgit.
Dalam video pendek acara yang disiarkan oleh Astro Awani itu, Anwar dilihat memuji Adriana kerana petah berkata-kata dalam mengemukakan soalannya.
"Jika saya lebih muda, saya akan meminta nombor anda," katanya sebelum menjelaskan bahawa dia hanya bergurau.
Moderator dalam sesi itu turut menyampuk dan secara bergurau berkata, "Datuk Seri tak dapat, bagi kat saya."
Kritikan terhadap Anwar turut menyaksikan video yang memaparkan penyandang timbalan menteri besar Kelantan Mohd Amar Abdullah diheret dalam kontroversi itu.
Dalam petikan video itu, Mohd Amar dilihat berkata wanita boleh menjadi pemimpin yang baik yang berwawasan, berani, berintegriti.
"Kalau tidak menjadi wakil rakyat, sekurang-kurangnya masih boleh menjadi 'isteri muda' kepada seorang menteri," kata Mohd Amar sejurus selepas itu.
Amira Aisya berkata ia adalah satu lagi contoh "lelaki yang lebih tua berfikir bahawa mereka lucu".
"Kedua-duanya (Anwar dan Mohd Amar) salah. Ini (lurahan Mohd Amar) sebenarnya lebih teruk!
"Wanita bukan objek," katanya.
Adun Puteri Wangsa itu menambah bahawa dia tidak begitu terkejut dengan kenyataan pemimpin PAS itu.
Namun, kata Amira, dia sentiasa melihat Anwar sebagai seorang yang jauh lebih baik.