Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PKR saman RM10 juta: Azmin yakin Zuraida menang peringkat rayuan

Pengerusi PN Selangor Mohamed Azmin Ali Mohamed Azmin Ali berpandangan keputusan mahkamah tinggi yang mengarahkan Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada PKR bukan pengakhiran.

Sebaliknya bekas timbalan presiden PKR itu berkata Zuraida masih mempunyai ruang untuk membatalkan keputusan itu di peringkat di mahkamah rayuan nanti.

"Itu bukan keputusan muktamad. Zuraida punyai hak untuk buat rayuan.

"Saya percaya dengan fakta-fakta yang bakal dikemukakan nanti (di mahkamah rayuan) Zuraida dibebaskan daripada keputusan (membayar RM10 juta)," katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) di Shah Alam, petang tadi.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan saman oleh PKR untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida yang juga bekas naib presidennya, kerana berpaling tadah daripada parti itu selepas menang kerusi parlimen Ampang pada PRU14.

Hakim Akhtar Tahir membuat keputusan itu selepas mendapati hujahan Zuraida bahawa bon itu ditandatanganinya atas alasan dipaksa adalah tidak berasas.

Mahkamah juga memerintahkan Zuraida membayar kos RM50,000 kepada PKR.

"Bukti menunjukkan Zuraida menandatangani bon itu dengan pengetahuan penuh mengenai kandungannya. Zuraida menandatanganinya secara sukarela kerana mahu bertanding dalam pilihan raya atas tiket PKR," kata hakim.

Sementara itu, Azmin ketika ditanya sama ada akan bertanding dalam PRN di Selangor, berkata dia menunggu arahan daripada pucuk pimpinan Bersatu.

Penyandang kerusi Dun Bukit Antarabangsa itu bekata, meskipun sebelum ini mengumumkan untuk bercuti seketika daripada politik, dia akan akur untuk bertanding jika diarahkan oleh partinya.

"Sebagai orang parti saya akan partuh kepada arahan parti...Saya tunggu arahan (parti)," katanya sambil menambah PN menyasarkan untuk menang sekurang-kurangnya 29 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS