Kisah Muhammad Syahril Saidi, pelajar cemerlang SPM yang tidak dapat hadir ke sekolah untuk mengambil keputusan kerana menjaga ibunya yang sakit, mendapat perhatian ramai pihak.
Apatah lagi selepas ibunya, Tuan Faridah Tuan Ismail meninggal dunia beberapa hari kemudian, iaitu pada 10 Jun lalu.
Hari ini, Yayasan Bank Rakyat (YBR) bertemu dengan Muhammad Syahril yang mendapat keputusan 11A untuk memberi bantuan kewangan kepadanya sebagai persediaan melanjutkan pengajian di universiti.
Pertemuan dibuat di rumah Mohd Syahril di Kendis, Bachok di Kelantan.
Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata pihaknya terpanggil untuk memberi bantuan selepas dapat tahu tentang apa yang berlaku Muhammad Syahril, dan berkenaan pelajar itu yang telah kehilangan bapa 11 tahun lalu.
“Dengan pemberian bantuan ini diharapkan dapat membantu mengurangkan bebanan serta duka yang kini ditanggung oleh Muhammad Syahril serta sebagai pemangkin
untuk meneruskan kecemerlangan di peringkat seterusnya," katanya dalam kenyataan.
Dia menyuarakan harapan agar bantuan yang diberikan dapat membantu anak muda itu melanjutkan pengajian dalam bidang yang diceburinya.
Menurut YBR, setakat 1 Januari lalu, yayasan yang ditubuhkan pada Mei 2207 itu telah menaja lebih 6,543 pelajar yang memerlukan untuk melanjutkan pengajian ke universiti, dengan jumlah keseluruhan tajaan kira-kira RM180 juta.