Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PN 'sokong' Tony Pua, anggap Umno-BN bak pengelap kaki

Dalam perkembangan yang jarang-jarang berlaku, Pemuda PN hari ini memberitahu, gabungan itu 'bersetuju' dan berkongsi pandangan dengan pandangan yang diberikan 'DAP'.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari bagaimanapun menjelaskan persefahaman itu merujuk kepada kenyataan diberikan salah seorang bekas ahli parlimen DAP mengenai Umno-BN.

Katanya ketika ini Umno-BN hanya dijadikan "kain buruk" untuk mengelap kaki salah satu parti dalam kerajaan iaitu DAP.

"Ada juga yang kita setuju dengan DAP...Secara terang-terangan mereka kata Umno-BN korup. Saya nak tanya kawan-kawan Umno tidak malukah nak undi DAP di Selangor?

"Ertinya pada pandangan DAP, Umno umpama kain buruk yang digunakan untuk mengelap kaki ketika basah... Apakah bahasa saya kasar? Saya tak nak bermusuh dengan ahli-ahli Umno.

"Maknanya apa? Maknanya kamu (Umno) tunggu masa hendak dibuang ke longkang," katanya ketika berucap pada Konvensyen Pilihan Raya PN di Shah Alam, hari ini.

Semalam, bekas ahli parlimen Damansara, Tony Pua, menggelar BN yang kini bersama PH dalam kerajaan perpaduan sebagai ‘pakatan korup’.

Pua yang juga bekas setiausaha publisiti DAP berkata demikian sewaktu berucap pada majlis makan malam mengumpul dana DAP di pekarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Malah, Pua dalam masa sama turut memberikan label sama kepada Bersatu sebagai sebuah lagi parti nasionalis Melayu.

Pua turut berharap PH dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu tanpa membabitkan Umno-BN dalam PRU akan datang.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PAS berkata pilihan raya negeri (PRN) Selangor penting bagi mengubah kerajaan persekutuan yang kini dipimpin Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tambahnya kerajaan di bawah Anwar gagal mengurus negara dengan baik termasuk membabitkan nilai mata wang yang terus merudum sehingga mencapai 'harga Rahmah" berbanding dolar AS.

"Harga ringgit berdepan penurun sehingga 'harga Rahmah' RM5.

"Kalau sampai harga rahmah saya nak suruh 'menteri rahmah' buat pengumuman besar-besaran di Parlimen," katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Fadhli berkata PN perlu bersatu bagi menghadapi pilihan raya jika ingin menawan Selangor.

Apatah lagi, dakwanya, mereka berdepan dengan lawan yang dianggap cukup rapuh iaitu gabungan PH dan BN.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS