Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Proses penempatan lantikan doktor tetap tak teratur, kata MMA
Diterbitkan:  Jun 23, 2023 9:35 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengkritik lantikan tetap terbaru yang dijalankan Kementerian Kesihatan (KKM) terhadap kakitangan kesihatan.

Ia selepas proses penawaran lantikan tetap terhadap 4,907 pegawai kontrak, termasuk 4,263 pegawai perubatan yang bermula 9 Jun lalu dan dijadual selesai esok.

Menurut MMA, pihaknya menerima ratusan aduan berkenaan sistem eHousemen (eHO) yang digunakan untuk proses tersebut, yang disifatkannya sebagai "tidak teratur".

Sistem tersebut digunakan pegawai perubatan kontrak untuk memohon lantikan tetap, membuat pilihan petempatan dan memilih sama ada untuk menerima jawatan yang ditawarkan atau tidak.

Namun, MMA berkata ramai pegawai perubatan mendakwa mereka tidak mendapat petempatan pilihan mereka.

Maklum balas tersebut dikumpul selepas MMA meminta pandangan doktor menerusi media sosial dan saluran pesanan berkenaan sistem eHO.

Daripada 154 doktor yang memberi maklum balas setakat 11 pagi tadi, 126 (82 peratus) melaporkan tidak mendapat penempatan yang dipilih.

Selain itu, 56 daripada 68 responden (82 peratus) yang sedang menjalani latihan pakar tidak ditawarkan jawatan yang diinginkan mereka.

MMA berkata doktor-doktor ini sudah pun lulus program parallel pathway atau mengambil peperiksaan Medical Specialist Pre-entrance (MedEx).

"Sejumlah komen yang diberi menandakan doktor-doktor ini sedang melanjutkan pengajian pascasiswazah tetapi dipaksa untuk berpindah.

"Langkah memindahkan doktor ini akan menjejaskan penghasilan pakar kerana ia memberi kesan kepada latihan pascasiswazah," katanya.

Ada juga responden yang dilaporkan mendakwa kemudahan kesihatan mereka kurang kakitangan, tetapi mereka tidak dapat memilih untuk mendapat penempatan kekal di situ kerana tiada dalam sistem eHO.

"Negeri seperi Selangor, Melaka dan Sarawak, yang ada kemudahan kesihatan yang memerlukan lebih ramai kakitangan, tiada dalam pilihan.

"Ada juga aduan berkenaan kesilapan sistem yang memaksa responden menunggu agar laman sesawang kembali baik sebelum dapat buat pilihan," katanya.

MMA menggesa jabatan sumber manusia KKM agar memberi jaminan terhadap ketelusan proses.

Ia boleh dilakukan dengan menyiarkan senarai kemudahan kesihatan di Malaysia, bilangan doktor yang diperlukan di setiap kemudahan, dan bilangan yang sudah ditugaskan di sana.

Jabatan itu juga menggesa merangka proses yang memberi keutamaan kepada doktor yang sedang menjalani latihan pascasiswazah bagi menjamin latihan pakar-pakar baru tidak terjejas.

Terdahulu hari ini, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa mengumumkan Jabatan Perkhidmatan Awam menawarkan lantikan kekal kepada 4,914 kakitangan perubatan kontrak untuk memenuhi kekosongan tahun ini.

Ia merangkumi 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.

Zaliha berkata hanya lima pegawai perubatan dan lapan pegawai farmasi tidak memilih penempatan mereka menjelang tarikh akhir permohonan.

Bagi pegawai perubatan, Zaliha berkata setakat fasa 4 proses, 3,405 orang telah memilih penempatan, termasuk semua lantikan tetap yang ditawarkan di semenanjung Malaysia.

"Masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak yang tidak dipilih oleh pegawai. Oleh yang demikian, kesemua kekosongan jawatan ini akan ditawarkan

kepada calon simpanan," katanya.

KKM turut menerima 1,000 rayuan daripada kakitangan kontrak agar dikekalkan di tempat mereka bertugas pada masa ini.

Antara sebab yang dikemukakan adalah masalah kesihatan diri dan keluarga, tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan, penempatan menyebabkan mereka terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran.

Kata Zaliha, pelaksanaan pengambilan tetap itu akan menyebabkan ada kemudahan kesihatan yang akan berdepan kekurangan kakitangan.

"Justeru, KKM telah menyediakan langkah penyelesaian bagi menangani isu tersebut, antaranya menempatkan secara berperingkat pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ke fasiliti berkenaan mulai Julai 2023.

"Berdasarkan rekod KKM, seramai 3,226 pegawai perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember 2023.

"Oleh yang demikian, seramai 675 pegawai perubatan akan diagihkan segera mulai Julai 2023, diikuti dengan seramai 1,150 pegawai lagi yang akan diagihkan pada Ogos 2023.

"Urusan seterusnya akan dilaksanakan sebaik sahaja pegawai menamatkan latihan atau khidmat wajib," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS