Setiausaha PN Selangor Dr Afif Bahardin menyuarakan keyakinan mereka dapat merampas negeri itu dalam PRN akan datang ekoran "sokongan yang meningkat" di kalangan pengundi.
"Secara retorik, kami sasar menang di semua (56) kerusi DUN Selangor, tapi kami sedar cabaran yang menanti.
"Kami tawarkan kepada rakyat Selangor calon yang tiada kes mahkamah, yang profesional dan berpengalaman," katanya ketika sidang media menjelang Konvensyen PN di Shah Alam, hari ini.
BACA LANJUT: PRN: Sampai mana gelombang hijau?
Afif berkata penting untuk PN menunjukkan kepada penduduk Selangor bahawa gabungan itu mampu menubuhkan kerajaan yang stabil dan cekap.
Katanya lagi, sokongan terhadap PN meningkat selepas PRU lalu, terutama di kalangan pengundi baru.
"Jika anda tanya saya, kami yakin (menang PRN). PN boleh tubuh kerajaan negeri dengan sokongan pengundi Selangor," katanya lagi.
‘Pengundi Cina tak gembira dengan DAP’
Sementara itu, Setiausaha Pemuda Gerakan selangor Chai Ko Thing berkata PN mampu berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia, bukannya kepada orang Melayu sahaja seperti dakwaan sesetengah pihak.
Dia juga mendakwa masyarakat Cina pada masa ini tidak berpuas hati dengan DAP yang kini menjadi sebahagian daripada kerajaan.
"Gerakan buat tinjauan berkenaan tahap sokongan masyarakat Cina terhadap DAP dan dapati ramai yang tak gembira dengan parti itu," katanya.
Ditanya berkenaan pengagihan kerusi untuk parti komponen PN, Afif enggan mendedahkannya.
Dia bagaimanapun mengesahkan semua parti akan bertanding menggunakan logo gabungan itu.
DUN Selangor secara rasminya terbubar pada hari ini.
Pada penggal lalu, PH menguasai 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam) diikuti dengan BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (dua), manakala PAS, Pejuang dan Warisan masing-masing memegang satu kerusi. Satu kerusi lagi diwakili calon bebas.
Kerusi DUN Batang Kali pula diisytihar kosong selepas wakil rakyatnya gagal hadir ke sidang DUN untuk tempoh lebih enam bulan.
Konvensyen PN esok akan dihadiri pemimpin tertinggi gabungan itu termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin, Presiden Gerakan Dominic Lau dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.