Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah kekalkan anugerah RM471k kepada bekas pengurus bank

Mahkamah sivil di Ipoh menolak semakan kehakiman sebuah bank komersial untuk membatalkan keputusan Mahkamah Perusahaan yang menganugerahkan lebih RM471,840.60 kepada bekas pengurus kanannya berhubung kes pemecatan yang tidak adil.

Peguam Ramesh NP Chandran, yang mewakili responden Abd Razak Mohd Kassim, mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi semalam menafikan tindakan undang-undang oleh Bank Islam Malaysia Bhd itu.

Peguam itu berkata, hakim Bhupinder Singh memutuskan mahkamah sivil tidak menemui sebab untuk mengganggu anugerah Mahkamah Perusahaan bertarikh 17 Dis 2019, dan memerintahkan bank itu membayar kos RM7,000 kepada Razak.

Menurut keputusan Mahkamah Perusahaan, pengerusinya Rasidah Chik memutuskan bahawa bank itu gagal membuktikan atas imbangan kebarangkalian bahawa penamatan perkhidmatan Razak adalah atas sebab yang adil.

Razak mula bekerja dengan bank itu pada 1 Julai 1986, sebagai penolong pengurus dan dinaikkan menjadi pengurus kanan dan pegawai sokongan jualan perdagangan di cawangan Ipoh, sebelum pekerjaannya ditamatkan pada akhir 2013.

Pada 29 Mei 2013, bank itu telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Razak kerana didakwa bertindak di luar kuasanya sebagai pengurus bank, dengan empat pertuduhan salah laku dikenakan terhadapnya.

Salah satu dakwaan salah laku (pertuduhan pertama) ialah dua dituduh tersilap menasihati orang bawahannya di cawangan Ipoh untuk mengeluarkan lebih RM23 juta pinjaman kepada sebuah syarikat tanpa penelitian yang wajar.

Satu lagi dakwaan salah laku (pertuduhan keempat) ialah dia dikatakan gagal menasihati pegawai cawangan bank untuk tidak meneruskan empat tuntutan pengeluaran untuk pembekal tempatan dan tujuh tuntutan pengeluaran untuk pembekal asing, walaupun menyedari bahawa dokumen penipuan telah dikemukakan untuk pengeluaran tersebut.

Walaupun memberi maklum balas pada 14 Jun 2013, bank itu tidak berpuas hati dengan penjelasannya dan menjalankan siasatan dalaman serta menggantungnya pada 29 Julai tahun itu.

Susulan siasatan dalaman yang dijalankan antara 20 Ogos 2013 dan 23 Okt 2013, bank itu memecat Razak pada 16 Dis tahun itu, berikutan mendapati dia bertanggungjawab atas pertuduhan pertama dan keempat. Dia kemudian merujuk kesnya ke Mahkamah Perusahaan pada 8 Ogos 2014.

Pada 2 April 2020, bank itu merujuk mahkamah sivil untuk membatalkan anugerah itu, antara lain berpendapat bahawa Mahkamah Perusahaan terkhilaf apabila menimbangkan semua keterangan yang diberikan oleh saksi bank semasa siasatan dalaman.

Malaysiakini cuba menghubungi pasukan guaman bank daripada firma guaman Zaid Ibrahim & Co berhubung perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS