Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahdzir: Umno tanding sekurang-kurangnya 15 kerusi di Kedah
Diterbitkan:  Jun 23, 2023 5:15 PM
Dikemaskini: 9:15 AM

Umno Kedah menyasarkan parti itu akan bertanding sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Pengerusi Umno Kedah Mahdzir Khalid berkata isu agihan kerusi antara BN dan PH di negeri itu akan selesai sebelum Hari Raya Aidiladha.

“Kalau kita ada 15 DUN yang bertanding itu kira minimumlah. Kalau kita dapat lebih daripada itu, maknanya itu sudah banyaklah.

"Insya-Allah dalam minggu ini sebelum raya haji kita boleh selesai,” katanya pada sidang media selepas menghadiri taklimat persiapan PRN Umno DUN Sungai Tiang di Pendang, Kedah hari ini.

Dia juga menyuarakan keyakinan pembahagian dua kerusi yang belum dimukatamadkan dapat diselesaikan dengan harmoni.

Sebelum ini Malaysiakini melaporkan enam daripada sembilan kerusi bertindih antara BN dengan PH termasuk dua kerusi di Kedah.

Agihan kerusi yang tidak dapat dimuktamadkan di peringkat negeri akan dibawa ke pucuk pimpinan kedua-dua gabungan, melibatkan Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi.

Mengulas mengenai persediaan BN, Mahdzir berkata mereka sudah memulakan gerak kerja termasuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) di setiap DUN.

“Katalah Sungai Tiang, ada lebih kurang 23 PDM, (kami) akan tubuh jawatankuasa di 23 PDM itu. Katalah di DUN Tokai ada 21 (PDM), jadi ada 21 jawatankuasa.

“Jadi kalau Tokai ditandingi oleh PH, maknanya jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BN (akan) bantu.

“Kalaulah Sungai Tiang nanti Umno atau BN yang bertanding, jadi ‘frontliner’ di Sungai Tiang adalah BN. PH yang datang bantu,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS