Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CEO mengaku tak bersalah dakwaan tipu urusan jual tapak Hooray X Fest

Seorang CEO sebuah syarikat pengurusan acara mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita berhubung urusan penjualan tapak festival Hooray X Fest Raya, dua bulan lepas.

Muhammad Alif Hakim Jamal, 23, didakwa menipu Siti Wardina Basir dengan memperdayakannya dalam urusan penjualan gerai atau penyewaan tapak festival tersebut sehingga mendorong wanita itu menyerahkan RM1,500.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada 2.34 pagi, 19 April lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Noraisyah Mohamed Zanyuin mencadangkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Zamri Idrus memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya menghidap penyakit buah pinggang dan perlu melakukan dialisis tiga kali seminggu dengan kos RM1,050.

Majistret Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Julai ini untuk sebutan kes.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS