Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu air: Hujah PAS mandulkan fikiran rakyat Kelantan - Pemuda Umno
Diterbitkan:  Jun 23, 2023 12:52 PM
Dikemaskini: 4:52 AM

Tindakan PAS menuding jadi ke negeri lain untuk mempertahankan diri daripada kritikan mengenai kegagalan membekalkan air bersih adalah memandulkan fikiran rakyat, kata Pemuda Umno negeri itu.

Ketuanya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata data terkini menunjukkan Kelantan memang gagal memastikan semua kawasan di negeri itu mendapat bekalan air.

Keadaan itu, katanya, tidak berlaku di negeri lain walaupun didakwa turut mengalami masalah.

"Seringkali dalam ceramah, PAS Kelantan terutama dari Timbalan Menteri Besar Mohd Amar Abdullah mencerca mereka yang menimbulkan masalah bekalan air Kelantan, dan memandulkan fikiran rakyat Kelantan dengan menyatakan negeri lain seperti Pahang, Pulau Pinang, Johor juga hadapi masalah air," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Azmawi walaupun negari selain Kelantan mengalami masalah bekalan air, liputan perkhidmatan air di sana mencapai tahap sekurang-kurangnya hampir 100 peratus.

"Manakala di Kelantan hanya mempunyai liputan sekadar 65.4 peratus di bandar dan 80.8 peratus di luar bandar.

"Ini bermaksud Kelantan hanya menjaga sedikit kawasan liputan bermasalah sepanjang masa dan ia tidak sama dengan kawasan yang mempunyai 100 peratus liputan capaian kepada bekalan air," katanya.

Mengiringi kenyataan tersebut ialah data liputan perkhidmatan bekalan air bagi negeri Semenanjung Malaysia pada 2020 dan 2021 daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Ia menunjukkan kadar purata liputan air bagi Kelantan adalah pada tahap 73 peratus berbanding negeri-negeri lain. Negeri paling hampir dengan kadar purata Kelantan ialah Terengganu iaitu 96 peratus.

Pahang mencapai tahap 98 peratus, manakala Pulau Pinang 99.9 peratus. Liputan bekalan air di Johor pula berada pada tahap 99.9 peratus.

Mohd Azmawi juga menyatakan kadar air tidak berhasil (NRW) di Kelantan pada 2021 adalah yang kedua tertinggi selepas Perlis iaitu sebanyak 52.6 peratus.

Maknanya, tambah Mohd Azmawi, walaupun Kelantan memiliki kurang liputan bekalan air, kebocoran berlaku pula tinggi sehingga menyusahkan rakyat, dan ini tidak berlaku di -negeri lain.

"Maka, tidak wajar bagi Mohd Amar menghina pemikiran rakyat yang merungut tentang masalah air di Kelantan dengan alasan mudah iaitu mendakwa negeri lain juga menghadapi masalah sama.

"Ia adalah langkah Mohd Amar untuk mewajarkan rakyat Kelantan terus hidup dalam kepayahan di bawah pemerintahan PAS," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS