Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) memaklumkan pihaknya tidak mempunyai pilihan selain mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap syarikat induk Facebook, Meta, susulan kerjasama tidak memadai daripada mereka untuk menurunkan kandungan memudaratkan dari platformnya.
Menurut MCMC, platform Facebook sejak akhir-akhir ini dibelenggu dengan jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja dan agama (3R), penyamaran, judi dalam talian serta iklan-iklan penipuan.
Sehubungan itu, MCMC berkata, mereka telah menghubungi Meta untuk menurunkan kandungan yang dimaksudkan daripada platform berkenaan.
MCMC memaklumkan, di sebalik permohonan berulang kali dibuat, Meta gagal mengambil tindakan secukupnya bagi menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan, dan tidak bekerjasama sepenuhnya.
“Maklum balas pihak Meta yang lembab dan kurang memuaskan, tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan dan ini telah mengundang kebimbangan dan penelitian awam.
“Memandangkan tahap kerjasama yang diberikan oleh Meta tidak memadai, MCMC tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta sebagai langkah untuk memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital,” menurut MCMC dalam kenyataan hari ini.
Agensi itu memaklumkan tindakan berkenaan adalah perlu dalam menyemai kebertanggungjawaban untuk keselamatan siber selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan termasuk aktiviti penipuan.
Menurut kenyataan itu, MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalah guna platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan untuk aktiviti siber berniat jahat, ‘phishing’ (pancingan data) atau sebarang kandungan yang mengganggu gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja.
- Bernama