Presiden Gerakan Dominic Lau dibidas kerana membandingkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin dengan pujangga lampau China, Qu Yuan yang terkenal dengan semangat cintakan tanah airnya.
Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok berkata perbandingan itu bukan saja kurang wawasan tetapi juga menunjukkan "pengabaian terang-terangan" terhadap legasi dan kepentingan sumbangan Qu Yuan.
"Adalah jelas bahawa Dominic Lau tidak mempunyai pemahaman yang mendalam tentang konteks sejarah sekitar era Qu Yuan.
"Menyamakan oportunis politik yang mendalangi 'Langkah Sheraton' dengan sewenang-wenangnya, untuk mengkhianati mandat rakyat dan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dipilih secara demokratik dengan Qu Yuan yang secara tragis mengorbankan dirinya apabila mengetahui kejatuhan Empayar Chu, Lau menunjukkan salah faham asas tentang perbezaan antara pengkhianat negara dan pejuang negara," kata pemimpin DAP itu pada satu kenyataan.
Kok menjawab kenyataan Lau sempena Pesta Perahu Naga semalam yang membandingkan kesengsaraan pemimpin PN dengan apa yang dialami oleh Qu Yuan.
Lau mendakwa Qu Yuan "dikorbankan kerana konspirasi politik" maka terdapat banyak persamaan antara pejuangan pujangga itu dan penganiayaan terhaap pemimpin PN.
Henti buat kenyataan memalukan
Mengulas lanjut, Kok berkata walaupun sebelum ini Gerakan bermegah dengan pemimpin yang berkebolehan dan berwawasan, kini parti itu dipimpin oleh Lau yang telah "terputus hubungan" dengan prinsip sebenar parti.
"Lau kini menjadi seorang pengampu yang menyedihkan bagi pemimpin Bersatu dan PAS, dengan rela mempertahankan yang tidak dapat dipertahankan.
"Dengan berbuat demikian, dia telah melakukan kesilapan besar dan tidak boleh dimaafkan apabila cuba membuat persamaan antara pemimpin PN dan pujangga yang dihormati Qu Yuan.
"Pada dasarnya, visi Lau kelihatan terbatas, sama seperti berhenti di hujung ekor naga di atas bot tanpa arah dan tanpa kemudi yang dia layari," kata Kok.
Katanya, Lau perlu mengkaji sejarah Qu Yuan untuk memahami semangat kebenaran yang terkandung dalam tindakan pujangga itu.
“Adalah penting bagi dia (Lau) mengelak daripada membuat kenyataan yang memalukan dan tidak relevan dalam percubaan terdesaknya untuk membuktikan kesetiaannya kepada tuan politiknya.
"Juri sudah keluar. Biar rakyat Malaysia menilai dia sewajarnya."