Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah memerintahkan Zuraida Kamaruddin membayar RM10 juta kepada PKR kerana berpaling tadah daripada parti itu selepas menang kerusi parlimen Ampang buat kali ketiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini membenarkan tuntutan bon RM10 juta daripada PKR terhadap bekas menteri itu, yang kehilangan kerusi Ampang kepada wakil PKR Rodziah Ismail pada PRU ke-15 tahun lepas.

Peguam parti itu Navpreet Singh mengesahkan keputusan yang disampaikan oleh hakim Akhtar Tahir semasa prosiding dalam talian.

“Mahkamah membenarkan tuntutan plaintif (PKR) yang meminta defendan membayar RM10 juta kepada pihak di bawah bon itu.

Gambar fail, Zuraida ketika bersama PKR.

“Mahkamah mendapati bon itu adalah kontrak yang sah dan mengikat. Mahkamah berpandangan RM10 juta itu bukan tidak seimbang tetapi jumlah yang munasabah untuk bertindak sebagai sekatan bagi menghalang ahli parti daripada bertindak bertentangan dengan kepentingan parti; dan bahawa jumlah yang kurang tidak akan menjadi penghalang.

"Kos RM50,000 juga diberikan memihak kepada plaintif," kata Navpreet kepada media.

Semasa perbicaraan penuh tindakan sivil itu pada 29 Mac, Setiausaha Agung PKR yang juga Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail memberi keterangan bahawa Zuraida menang kerusi Ampang kerana bertanding di bawah panji parti, bukannya atas kekuatan sendiri.

Semasa perbicaraan pada 30 Mac lalu, Zuraida memberi keterangan bahawa dia tidak mengetahui butiran bon RM10 juta itu dan mendakwa dipaksa menandatanganinya sebelum bertanding di Ampang.

Gambar fail, Langkah Sheraton.

Zuraida, bersama 11 ahli parlimen lain diketuai bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, meninggalkan parti itu pada Februari 2020 untuk menyokong Bersatu, Umno-BN dan GPS dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional.

Ini dikenali sebagai Langkah Sheraton yang meruntuhkan pentadbiran Pakatan Harapan ketika itu.

Pada September 2020 PKR memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menuntut RM10 juta daripada Zuraida kerana meninggalkan PKR.

Bagaimanapun, pada Mei tahun lalu, Zuraida meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM). Pada Disember tahun lalu, Zuraida dan 10 ahli PBM lain dipecat di tengah-tengah perebutan kepimpinan dengan penyandang presiden Larry Sng.

Gambar fail, Zuraida bersama Larry Sng.

Awal tahun ini, Zuraida dipilih sebagai timbalan presiden Muafakat Nasional, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Pada PRU15 lalu, Rodziah Ismail daripada PKR menang parlimen Ampang dengan majoriti 29,681, menewaskan Zuraida (PBM), Ivone Low (MCA), Sasha Lyna (PN), Dr Nurul Ashikin (Pejuang), dan Bryan Lai (Warisan), serta tiga calon bebas.

Peguam Nizamuddin Abdul Hamid yang bertindak mewakili defendan bekas ahli parlimen Ampang itu.

Zuraida merupakan menteri perumahan dan kerajaan tempatan dari 2018 hingga 2021 dan kemudiannya menteri industri perladangan dan komoditi dari 2021 hingga tahun lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS