Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN Kelantan: Tiada 'poster boy' dari PH-BN, 'semua' dari PAS

Tiada sesiapa yang akan ditonjolkan sebagai poster boy bagi PH, BN atau PAS-PN dalam menghadapi pilihan raya negeri (PRN) untuk Kelantan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Sumber dalaman BN negeri berkata, keputusan untuk tidak mewujudkan poster boy itu - sekali gus dianggap sebagai bakal menteri besar - dibuat memandangkan ia melibatkan perkenan sultan terlebih dahulu.

"BN Kelantan mahu mengelak insiden seperti yang berlaku di Johor sebelum ini. Poster boy merupakan individu yang akan dicalonkan sebagai menteri besar.

"Setakat ini tidak ada poster boy sama ada daripada BN atau PH," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kelantan merupakan satu daripada enam negeri yang akan melangsungkan PRN - dijangka antara Julai dan Ogos nanti.

Lima lagi negeri yang akan melaksanakan PRN ialah Negeri Sembilan, Terenganu, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan dewan undangan negeri (DUN) Kelantan dibubarkan secara rasmi hari ini selepas mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bagi memberi laluan PRN diadakan.

Langkah mengelak daripada menampilkan mana-mana tokoh sebagai poster boy bukanlah sesuatu yang baru.

Sebelum ini PN juga dilaporkan tidak menampilkan sesiapa sebagai poster boy sekali gus menjadi calon menteri besar mereka jika enang di Selangor.

Sumber berkata, gabungan itu tidak menamakan poster boy untuk PRN berkenaan kerana berpendapat menteri besar akhirnya akan diputuskan oleh Sultan Selangor sendiri.

Sementara itu Pengerusi PH Kelantan Muhammad Husain pula mengesahkan setakat ini tiada perbincangan dibuat mengenai rancangan untuk menampilkan seseorang sebagai poster boy.

"Setakat perbincangan yang berlangsung antara PH dan BN tidak pernah berbangkit mengenai perkara ini.

"PH kelantan serahkan kepada BN sebagai parti yang lebih dominan untuk tentukan," katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Husain

Dalam perkembangan sama PAS juga mengesahkan mereka tidak menampilkan sesiapa sebagai poster boy untuk gabungan PN kali ini.

Ketika ditanya Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan Mohd Amar Abdullah bagaimanapun secara berseloroh berkata semua calon yang diturunkan oleh PN merupakan poster boy mereka.

“Tidak ada, semuanya poster boy,” katanya disusuli ketawa kecil.

Tambah naib presiden PAS itu lagi, pihaknya juga tidak membincangkan isu calon menteri besar sama ada akan dikekalkan atau diganti dengan orang baru.

“Itu PAS Pusat yang akan menentukan, di peringakt negeri tak bincang.

"Sejak zaman Tok Guru (Nik Abdul Aziz Nik Mat) dulu pun kita tak bincang,” kata Mohd Amar.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS