Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kes Wang Kelian: 4 warga Thailand diekstradisi ke Malaysia

Empat warga Thailand yang disyaki terlibat dalam kes penemuan kem pemerdagangan manusia dan kubur di Wang Kelian, Perlis pada 2015 diekstradisi ke Malaysia hari ini bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah di Malaysia esok.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata penyerahan keempat-empat individu itu dilaksanakan hari ini berdasarkan perintah Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lepas, dan mereka akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kangar esok bagi tujuan pertuduhan.

Pada Mei 2015, Malaysia dikejutkan dengan penemuan kem dan kubur di Wang Kelian yang telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dari dalam dan luar negara.

Susulan itu, Malaysia mengemukakan permintaan ekstradisi kepada Thailand terhadap 10 individu warga Thailand pada 6 Januari 2017 dan kedua-dua negara telah berusaha untuk mengesan kesemua individu berkenaan bagi melaksanakan proses ekstradisi.

Saifuddin Nasution menerusi kenyataan hari ini berkata hasil daripada kerjasama baik antara kedua-dua negara, empat daripada 10 individu telah berjaya dikesan dan dihadapkan ke mahkamah Thailand bagi tujuan ekstradisi.

Dia berkata kes ekstradisi itu telah berjalan di pelbagai peringkat mahkamah di Thailand dan Mahkamah Rayuan Thailand pada 30 Mac lepas akhirnya telah mengeluarkan perintah penahanan ke atas keempat-empat individu itu untuk diserahkan kepada Malaysia.

“Kerajaan Malaysia amnya dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) khususnya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Thailand dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan proses ekstradisi bagi kes Wang Kelian ini berjalan lancar.

“Kerajaan Malaysia juga berharap kerjasama ini dapat diteruskan bagi menjejaki individu lain yang terlibat untuk dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya.

Saifuddin berkata KDN sentiasa komited dalam menjaga keselamatan sempadan negara dan memandang serius isu-isu jenayah rentas sempadan khususnya jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan migran.

“Usaha berterusan melalui operasi bersepadu oleh agensi-agensi penguatkuasaan sentiasa dititikberatkan demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS