Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Ahmad Kamal Md Shahid, dijadualkan untuk mendengar kes cabaran undang-undang Bersatu terhadap penyitaan dua akaun banknya oleh SPRM.

Ahmad Kamal juga merupakan hakim yang memberikan kelulusan kepada Bersatu pada bulan lalu supaya meneruskan cabaran undang-undang berasingan untuk membatalkan pembekuan akaun bank oleh SPRM.

Permohonan mahkamah untuk semakan kehakiman Bersatu berkaitan dengan penyitaan akaun itu dijadualkan akan didengar oleh Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, hari ini.

Bagaimanapun, semasa prosiding dalam talian hari ini, pasukan peguam parti pembangkang itu memohon agar kes tersebut dipindahkan ke mahkamah sivil di bawah presidennya, iaitu Ahmad Kamal. Permohonan pemindahan itu dibenarkan oleh Wan Ahmad Farid.

Apabila dihubungi, peguam Bersatu, Rosli Dahlan mengesahkan keputusan itu, berkata pasukan guaman yang mewakili Peguam Persekutuan SPRM daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membangkitkan bantahan terhadap permohonan pemindahan.

Peguam tersebut berkata permohonan pemindahan tersebut kerana isu penyitaan akaun berkait rapat dengan isu pembekuan akaun yang menjadi subjek tindakan undang-undang yang lain.

Dengan pemindahan kes hari ini, Ahmad Kamal akan mendengar kedua-dua kes berkaitan Bersatu itu.

Hakim tersebut kemudiannya akan menetapkan tarikh mendengar kes Bersatu memohon diberikan kebenaran meneruskan kes semakan kehakiman berkaitan dengan penyitaan akaun parti itu.

Sekiranya Ahmad Kamal memberikan kebenaran, dia kemudiannya akan menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujah tindakan undang-undang.

Pada 20 April, akaun parti Bersatu yang sebelum ini dibekukan oleh SPRM telah disita.

SPRM dalam satu kenyataan menjelaskan akaun tersebut disita pada 11 April selepas mengemukakan perintah mengikut Seksyen 50 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA 2001).

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan The Edge bertajuk “Bersatu asks MACC why two accounts still frozen after 90 days” (Bersatu minta penjelasan SPRM mengapa dua akaun masih dibekukan selepas 90 hari).

"Sebelum ini, akaun-akaun terbabit dibekukan pada 12 dan 13 Januari 2023 mengikut Seksyen 44 AMLATFPUAA 2001 bagi membantu siasatan terhadap wang yang disyaki daripada hasil haram.

"Susulan itu, SPRM telah melaksanakan tindakan sitaan tersebut pada 11 April 2023 berhubung siasatan dan pertuduhan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Dato’ Haji Mahiaddin bin Md Yasin di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan AMLATFPUAA 2001," kata agensi itu.

Pada 20 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan dua pertuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan RM232.5 juta.

Empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa dibuat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, di mana Muhyiddin didakwa menggunakan jawatannya sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu bagi mendapatkan rasuah sebanyak RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat tersebut ialah Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd, dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit adalah Azman Yusoff.

Dua pertuduhan pengubahan wang haram dinyatakan di bawah Seksyen 4(1)(b) Amlatfpuaa 2001 yang dibaca bersama Seksyen 87(1) Akta yang sama.

Individu berusia 76 tahun itu didakwa menerima RM120 juta hasil daripada aktiviti haram daripada Bukhary Equity Sdn Bhd antara 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS