Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Siti Aishah Shaik Ismail berkata Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor perlu perbaiki sikap dan pertuturan jika ikhlas mahu berbincang dengan kerajaan pusat berhubung pembangunan negeri itu.
"Jika benar menteri besar Kedah ikhlas untuk bercakap soal rakyat, maka beliau harus memperbaiki sikap dan pertuturan beliau dan bukanya sentiasa melemparkan persepsi jahat dan fitnah kepada perdana menteri dan kerajaan Persekutuan," kata pemimpin PKR itu.
Dia berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Penerangan Muslimat PAS Mardhiyyah Johari yang membidas Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana masih tidak memberikan jawapan terhadap permohonan Sanusi untuk bersua muka bagi membincangkan isu pembangunan Kedah.
Mardhiyyah dalam kenyataannya semalam mengingatkan Anwar bahawa Kedah bukan musuh Putrajaya dan perbezaan politik kepartian tidak harus dicampur aduk dengan tanggungjawab perdana menteri sebagai pentadbir negara.
Mengulas lanjut, Siti Aishah berkata kenyataan Mardhiyyah adalah percubaan mewujudkan persepsi bahawa rakyat Kedah tertindas dan dipinggirkan oleh kerajaan pusat.
"Tidak ada istilah lupa atau pengabaian kepada rakyat Kedah seperti yang digambarkan oleh saudari Mardhiyyah.
"Mardhiyyah seharusnya menjadi penilai yang baik dengan berani menegur dan mengkritik cara bagaimana menteri besar Kedah dalam menjalankan fungsi beliau sebagai seorang pemimpin.
"Menteri besar Kedah harus kembali kepada norma biasa pemimpin yang perlu bermula dengan sikap dan adab," katanya.
Siti Aishah berkata hubungan baik antara perdana menteri dan menteri besar dari parti lain di beberapa negeri yang berlainan boleh dijadikan rujukan.
"Bagaimana perkara yang fundamental seperti ini (pembangunan Kedah) mahu dibincangkan, jika kewarasan mereka yang mahu memperbincangkan perkara itu jelas tidak kelihatan.
"Isu ini melibatkan perlembagaan dan keutamaan pembangunan yang perlu dibuat secara relevan. Masih ada banyak lagi pembangunan dari sudut kemiskinan yang perlu diselesaikan dan diberi tumpuan," katanya.
Sanusi pada hujung bulan lalu bahawa dia masih menunggu persetujuan Anwar setelah menghantar dua pucuk surat bagi membincangkan projek pembangunan industri penerbangan Aerotropolis di Kedah.
Aerotropolis ialah projek metropolitan subwilayah yang merangkumi kemudahan awam, guna tanah dan ekonomi berpusatkan lapangan terbang di Kuala Muda.
Projek seluas 9,800 ekar itu melibatkan pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan Hab Logistik, Aerospace, dan Pembuatan Sidam (Slam).
Anwar yang juga menteri kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat sebelum ini berkata pusat tidak boleh mempertimbangkan pembinaan lapangan terbang baru di Kulim.
Sebaliknya, kata Anwar, kerajaan bercadang menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, berbanding membangunkan hab baru.