Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MIC cabar Lokman bawa resolusi keluarkan Umno dari BN
Diterbitkan:  Jun 22, 2023 2:45 PM
Dikemaskini: 6:57 AM

MIC mencabar Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Adam membawa resolusi mengeluarkan parti komponen itu dari gabungan BN.

Ketua Penerangan MIC, R Thinalan membuat cabaran sedemikian susulan kenyataan Lokman bahawa Umno tidak perlu memberi layanan istimewa kepada MCA dan MIC yang “tidak mampu” menarik sokongan Cina dan India.

"Jika berat sangatlah beban untuk memikul MIC, berbincanglah dengan Presiden Umno (Ahmad Zahid Hamidi) dan bawakan satu resolusi untuk mengeluarkan MIC daripada BN.

"Jangan hanya untuk mendapat perhatian murahan, Lokman ingin mengeluarkan kenyataan sinis.

"Beliau sendiri tidak mampu menang pilihan raya yang ditandinginya, ingin pula mengata orang lain," katanya.

Lokman Adam

Dia berkata demikian ketika mengulas wawancara Lokman dengan sebuah portal yang mengatakan MCA dan MIC perlu membuktikan mempunyai sokongan pengundi bukan Melayu untuk bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN).

"Tetapi, sampai bila kita nak pikul biawak itu, kalau kita ada sahabat yang setia tak ada masalah. Selama ini mereka kalah 2008 hingga 2018. Mereka tetap menjadi menteri walaupun mereka tak ada kerusi.

"Tetapi mereka mengkhianati kita, kita perlu fikir juga bahawa perlu rakan kongsi yang boleh sama-sama saling menyumbang.

"Takkan kita sahaja sumbang kepada mereka dan mereka tidak menyumbang," kata Lokman dalam wawancara itu.

Bagaimanapun, Thinalan mendakwa Umno adalah punca sokongan pengundi India dan Cina merosot kepada BN

"Sehingga 2007 kami telah menyumbang dengan penuh kepada BN sehingga tindakan beberapa pemimpin Umno yang telah mengguris sentiment masyarakat India.

"MIC dilabelkan sebagai hamba Umno dan parti itu juga tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memperbetulkan keadaan sehingga Najib Razak menjadi Perdana Menteri," katanya.

Katanya, MIC tidak terkejut dengan kenyataan Lokman yang didakwa sebagai katak politik.

"Memang susah untuk kami mengharapkan ikatan kekeluargaan yang sama daripada Lokman yang merupakan bekas ahli PKR yang dipecat.

"Ia agak kelakar apabila katak politik pula yang menuding jari kepada orang lain," katanya lagi.

Lokman merupakan ahli Umno dari 1991 sebelum bertindak masuk PKR pada 1999 sebelum dipecat pada 2004.

Dia kembali bersama Umno pada 2006 sehingga 2020 sebelum dilucutkan keahlian pada Feb 2020.

Namun, dia kembali menjadi ahli pada 30 September 2021, selepas rayuannya untuk menyertai kembali Umno diterima oleh parti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS