Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN: Veteran Umno minta PH, BN ketepikan cerita lama
Diterbitkan:  Jun 22, 2023 1:35 PM
Dikemaskini: 5:35 AM

Gabungan PH dan BN digesa menyelesaikan segera pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang dijangka akan diadakan pada akhir Julai atau pertengahan Ogos.

Setiausaha Veteran Umno Mustapha Yaakub berkata PRN ini penting kepada PH dan BN dalam berebut kemenangan dengan PN.

"BN dan PH masih lagi dalam perbincangan bagi menentukan pembahagian bilangan kerusi masing-masing dalam PRN tersebut.

"Masanya semakin singkat. Sepatutnya isu ini dah selesai kerana yang penting ialah masing-masing menyusun strategi dan bekerja untuk kemenangan.

"Veteran Umno menyeru kepimpinan BN/ PH negeri supaya dengan segera membuat keputusan tentang pembahagian kerusi ini dengan mengenepikan cerita lama.

"Kita sekarang berkawan. Kawan kena tolong kawan. Jangan tikam belakang. Kita bukan lagi lawan dan bermusuhan. Hakikat ini kita kena terima kalau kita mahu menang," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata rundingan agihan kerusi antara PH dan BN hampir selesai dan hanya sembilan kawasan DUN lagi belum dimuktamad.

Katanya, perbincangan mengenai pembahagian kerusi telah pun selesai di peringkat Jawatankuasa Perundingan BN-PH.

Dia berkata perkembangan terkini itu sekali gus menepis dakwaan segelintir pihak kononnya kerajaan perpaduan tidak stabil.

Asyraf Wajdi, yang juga ketua sekretariat kerajaan perpaduan, berkata baki sembilan kerusi DUN yang masih bertindih akan dimuktamad oleh kepimpinan tertinggi parti berkenaan.

Sementara itu, Mustapha berkata kemenangan gabungan PH dan BN lebih penting berbanding perebutan kawasan untuk bertanding.

Biar sikit tapi pasti menang

"Jangan berebut bilangan kawasan. Yang penting bertanding untuk menang. Kita berebut kemenangan dengan PN.

"Formula menang-menang mesti diutamakan. Biar sedikit tapi pasti menang. Kedua pihak BN dan PH kena saling bantu membantu untuk kemenangan.

"Pengundi BN kena undi calon PH dan pengundi PH kena undi calun BN," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS