Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak notis permohonan difailkan PAS bagi membatalkan saman fitnah dikemukakan Naib Presiden Amanah Mujahid Yusof.

Justeru dengan penolakan tersebut, kata peguam Noorazmir Zakaria, saman Mujahid akan diteruskan dengan perbicaraan penuh.

Peguam yang mewakili Mujahid itu berkata perbicaraan tersebut dijadual berlangsung pada 2025.

Katanya hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh juga semalam memerintahkan agar PAS membayar kos RM3,000 kepada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.

“Pada sesi pendengaran kes, pihak defendan menghujahkan bahawa plaintif salah kerana menyaman PAS.

"Kata mereka, plaintif sepatutnya menyaman penulis artikel tersebut bukannya parti.

“Selain itu peguam mereka juga menghujahkan PAS sebagai parti politik tidam boleh disaman dalam kes fitnah.

“Bagaimanapun kami mengemukakan hujahan sebaliknya,” kata Noorazmir ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Noorazmir Zakaria

PAS diwakili peguam bela Mohd Faizi Che Abu.

Pada 15 Dis tahun lalu Mujahid memfailkan saman fitnah terhadap PAS berikutan satu artikel yang diterbitkan di Facebook Parti Islam Se-Malaysia PAS (Pusat) bertajuk Mantan Menteri Agama PH sokong Eljibiti?.

Artikel tersebut bertarikh 16 Okt 2022.

Mujahid yang juga bekas ahli Parlimen Parit Buntar menerusi pernyataan tuntutannya mendakwa artikel tersebut adalah bersifat fitnah dan mengaibkannya.

Dia itu turut mendakwa PAS dengan melampau menggunakan atau mengaitkan isu LGBT ini dengan dirinya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS