Acryl Sani Abdullah Sani bakal mengakhiri tugasnya sebagai ketua polis negara pada Khamis ini, kata suatu sumber dalaman kerajaan.
Pengunduran itu bermakna Acryl Sani akan menamatkan kontraknya sebagai pegawai tertinggi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira empat bulan lebih awal.
Kontrak perkhidmatan Acryl Sani sepatutnya berakhir 3 Okt ini.
Sumber itu menjelaskan, selepas meninggalkan perkhidmatan dalam PDRM Acryl Sani bakal dilantik mengetuai sebuah institusi di bawah Kementerian Kewangan (MOF).
"Acryl Sani telah dimaklumkan mengenai perkembangan itu sejak beberapa minggu lalu.
"Dia akan dilantik menerajui sebuah institusi kewangan tidak lama lagi sebagai suatu penghargaan atas sumbangannya selama ini," katanya kepada Malaysiakini.
Sumber itu juga memaklumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menghargai khidmat bakti Acryl Sani dan berhasrat memanfaat pengalaman luasnya.
Acryl Sani adalah pegawai yang dilantik menjadi ketua polis negara bagi menggantikan Abdul Hamid Bador yang tidak disambung kontraknya selepas berlaku pertukaran kerajaan ekoran Langkah Sheraton pada Feb 2020.
Pelantikan Acryl Sani diperkenankan Yang di-Petuan Agong selepas namanya dipersembahkan perdana menteri ketika itu, Muhyiddin Yassin, dan berkuat kuasa mulai 14 Ogos 2020 sehingga 3 Mei 2021.
Kerajaan kemudian menyambung kontrak tersebut selama dua tahun lagi, antara 4 Okt 2021 hingga 3 Ok tahun ini.
Pelantikan Acryl Sani sebagai pengganti Abdul Hamid turut dibayangi kontroversi apabila muncul rakaman audio yang dikaitkan dengan menteri dalam negeri ketika itu, Hamzah Zainudin.
Sementara itu, satu sumber lain dari Putrajaya memberitahu Timbalan Ketua Polis Negara Razarudin Husain akan mengambil alih tugas Acryl Sani selepas ini.
"Mengikut tradisi, memang timbalan ketua polis negara yang dijangka mengambil alih," katanya.
Menurut sumber itu Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman Hazani Ghazali, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Ayob Khan Mydin Pitchay antara nama-nama yang disebut bakal mengisi jawatan timbalan ketua polis negara.
Katanya Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail telah dititah mengadap Agong hari ini dan ia dipercayai ada kaitan dengan pertukaran jawatan tersebut.
Anwar juga, katanya, dipercayai dipanggil menghadap Agong hari ini.
"Perkenan daripada Agong diperlukan untuk jawatan ketua polis negara dan timbalannya," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Saifuddin yang dihubungi Malaysiakini memberitahu Kementerian Dalam Negeri akan membuat kenyataan esok.