Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Program perkasa BM di sekolah vernakular tiap 4 bulan - Fadhlina

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kementerian itu komited dalam usaha memperkasakan penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Berucap di majlis penutupan Program Pemerkasaan Bahasa Melayu SJKC negeri Selangor dan SJKT Wilayah Persekutuan hari ini, Fadhlina berkata program tersebut akan dilaksanakan setiap empat bulan.

“Program seperti ini akan dilaksanakan setiap empat bulan untuk memastikan proses kekuatan Bahasa Melayu ini seiring dengan perkembangan anak murid.

“Jadi sebab itu saya juga sambut cabaran dan minta cabaran itu dikembalikan dengan melihat hasil nanti iaitu perkembangan dan pengkukuhan bahasa Melayu di kalangan murid-murid ini selepas empat bulan,” katanya.

Program yang berlangsung selama dua hari bermula 19 Jun itu melibatkan seramai 200 guru daripada 57 buah sekolah vernakular di Kuala Lumpur dan 40 buah sekolah vernakular di dua Pejabat Pendidikan Daerah Petaling Utama dan Petaling Perdana.

Program tersebut dianjurkan dan ditaja sepenuhnya oleh Majlis Bahasa Cina Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) dan Jabatan Pendidikan Selangor (JPNS).

Ia bertujuan mempertingkat keberkesanan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Melayu dalam kalangan guru-guru dan murid-murid di SJKC dan SJKT.

Terdahulu, Presiden Majlis Bahasa Cina, Eddie Heng Hong Chai berkata program itu merupakan titik permulaan untuk terus bekerjasama dengan KPM dalam usaha memberikan motivasi kepada guru-guru yang mengajar di sekolah vernakular.

“Susulan daripada program ini, kita berharap agar dapat menjalankan kursus selama empat bulan supaya dapat meningkatkan kualiti pengajaran,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pemberita, Fadhlina berkata dia percaya tahap penguasaan bahasa Melayu di kalangan pelajar sekolah vernakular semakin baik.

“Bukan sahaja dalam program dan aktiviti tetapi keputusan SPM baru baru ini telah menunjukkan prestasi yang cukup cemerlang dalam penguasaan bahasa Melayu dan peningkatan ketara.

“Kita harap prestasi ini dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS