Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Glasier Hindu Kush Himalaya cair 65% lebih cepat

Glasier di Himalaya Hindu Kush cair 65 peratus lebih cepat pada 2011-2020 berbanding dekad sebelumnya, perubahan yang didorong oleh pemanasan global ke atas glasier, salji dan ibun abadi (permafrost) di rantau ini yang belum pernah berlaku sebelum ini dengan sebahagian besarnya tidak dapat dipulihkan, menurut kajian sebuah institut pergunungan terkemuka, lapor Xinhua.

Laporan "Water, Ice, Society and Ecosystems in the Hindu Kush Himalaya" diterbitkan oleh Pusat Antarabangsa Pembangunan Gunung Bersepadu (ICIMOD), sebuah badan yang dianggotai lapan negara yang berpangkalan di Kathmandu, Nepal.

Menurut kajian itu, glasier di Hindu Kush Himalaya boleh kehilangan sehingga 80 peratus daripada isi padu semasanya menjelang akhir abad ini pada trajektori pelepasan semasa, manakala litupan salji diunjurkan menyusut sehingga satu perempat, sekali gus mengurangkan air tawar secara drastik di sungai-sungai utama.

Oleh itu ketersediaan air di rantau ini dijangka memuncak pada pertengahan abad.

Menurut kajian itu, tahap permafrost yang semakin berkurangan akan menyebabkan lebih banyak tanah runtuh dan mencetuskan masalah kepada infrastruktur di kawasan tanah tinggi.

"Glasier Hindu Kush Himalaya merupakan komponen utama sistem Bumi.

"Dengan dua bilion orang di Asia yang bergantung kepada air yang ditakung oleh glasier dan salji di sini, kesan kehilangan kriosfera ini sukar dibayangkan. Kami mahu pemimpin segera bertindak bagi mengelakkan malapetaka.

"Masih ada masa untuk menyelamatkan kawasan kritikal ini, jika tindakan pantas dilakukan dalam mengurangkan pelepasan secara meluas," kata Timbalan Ketua pengarah ICIMOD Izabella Koziell dalam kenyataan media.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS