Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan gelombang hijau, tapi tsunami tak puas hati akan melanda - KJ
Diterbitkan:  Jun 20, 2023 3:42 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin berkata kerajaan sekarang patut berasa bimbang terhadap "tsunami ketidakpuasan hati" pada pilihan raya negeri akan datang berbanding “gelombang hijau”.

Katanya, meskipun sentimen agama meningkat dalam kalangan orang Melayu, namun peningkatan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) bukanlah semata-mata kerana kebangkitan konservatisme.

"Apa yang berlaku di Malaysia hari ini bukanlah kebangkitan "Gelombang Hijau" berbanding rasa tidak puas hati dalam masyarakat Melayu yang melangkaui isu 3R (kaum, agama, raja)," katanya dalam tulisan yang diterbitkan di Fulcrum oleh Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura.

Katanya, sejak pentadbiran Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa, hala tuju ekonomi kurang jelas, kemerosotan nilai ringgit berterusan, dan pengurangan kuasa beli rakyat disebabkan oleh “krisis kos sara hidup” yang berlarutan.

“Kemarahan orang Melayu yang ketara ini dikuatkan dengan sikap hipokrit pentadbiran sekarang, yang bercakap untuk menghapuskan rasuah dan menegakkan tadbir urus yang baik tetapi membenarkan kepimpinan Umno yang telah tercemar.

"Apa yang kita mungkin akan lihat pada pilihan raya negeri adalah tidak lebih daripada tsunami rasa tidak puas hati berbanding gelombang hijau," tambahnya.

Meskipun sokongan kepada PN bukan hanya berkisar mengenai isu 3R, Khairy mengakui gabungan itu menggadakan retorik dalam isu kaum, agama, dan raja-raja Melayu ketika perbahasan di parlimen dan dalam ceramah mereka.

Tambahnya, Anwar cuba menangani isu-isu berkenaan termasuk meperkenalkan rang undang-undang untuk memperkukuhkan mahkamah Syariah, namun langkah itu mungkin tidak membuahkan hasil.

Dia memetik tinjauan pendapat awam yang dijalankan oleh Endeavour-MGV pada April lalu yang mendapati sokongan terhadap perdana menteri dalam kalangan orang Melayu menurun kepada 54 peratus, manakala kurang separuh daripada responden Melayu merasakan kepimpinan Anwar bertambah baik.

Selain itu Khairy mendakwa pandangan seperti Lim Kit Siang bahawa pilihan raya negeri akan menjadi "pilihan yang penting" untuk rakyat Malaysia mungkin akhirnya akan menyebabkan lebih ramai orang Melayu menyokong PN.

Sementara itu, Khairy berkata, kerajaan Anwar juga berdepan cabaran dalaman, iaitu Umno sendiri.

Khairy berkata Anwar mempunyai "banyak perkara untuk dibuktikan" selepas mengambil alih beban iaitu Umno serta Presidennya Ahmad Zahid Hamidi - yang kini sedang dibicarakan kerana rasuah.

Khairy - yang dipecat daripada Umno pada Januari ketika parti itu melakukan pembersihan untuk menyingkirkan seteru politik Zahid - berkata kepercayaan bahawa Umno dapat membantu PH mendapatkan sokongan Melayu juga mungkin tidak benar.

"Sekarang kelihatan kurang mungkin, kerana Umno terus bergelut untuk menjelaskan kepada ahlinya mengapa ia menjadi sebahagian daripada kerajaan yang melibatkan musuh ideologinya yang lama, iaitu DAP," katanya.

Tambahnya, PN juga telah memanfaat kegelisahan di kalangan pengundi Melayu terhadap kehadiran DAP dalam kerajaan.

PN sebelum ini menonjolkan bahawa gabungan itu lebih bersih dan merupakan alternatif kepada orang orang Melayu selepas Umno berdepan persepsi negatif berikutan kes rasuah melibatkan bekas presidennya, Najib Razak.

Selain faktor berkenaan, penganalisis politik Bridget Welsh berpendapat pengundi atas pagar membolehkan PN meraih keuntungan besar dalam pilihan raya umum ke-15.

Puji pendirian PM dalam kes hakim Nazlan

Dalam pada itu, Khairy memuji Anwar kerana menjelaskan bahawa siasatan SPRM terhadap hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak menemui unsur-unsur jenayah.

"Perdana menteri betul 100 peratus dalam menjelaskan perkara ini. Beliau harus terus menentang serangan terhadap badan kehakiman yang dilakukan oleh Umno," kata Khairy menerusi Instagram.

Nazlan adalah hakim yang menjatuhkan hukuman terhadap Najib dalam kes rasuah melibatkan RM42 dana SRC International.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS