Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang melarang merokok di semua premis kedai makan setelah memutuskan merokok di tempat awam bukan hak asasi yang perlu dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Selepas lima tahun, usaha tujuh individu yang mencabar peraturan larangan merokok itu berakhir hari ini selepas mahkamah persekutuan menolak permohonan kebenaran untuk mereka merayu keputusan dibuat mahkamah rayuan tahun lalu.
Keputusan hari ini dibuat oleh Hakim Zabariah Yusof, yang mempengerusikan panel tiga anggota selepas mengambil kira tujuh individu terbabit gagal melepasi ambang untuk mendapatkan kebenaran seperti dikehendaki bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Tujuh individu berkenaan ialah Hanizam Yunus, 55, Zulkifli Mohamad, 60, Laisani Dollah, 49, Sufian Awaludin, 38, Ridzuan Noor, 56, Yazid Yunus, 51 dan Yuri Azhar Abdollah, 43.
Pada 29 Okt, 2019, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Mariana Yahya (kini hakim mahkamah rayuan) menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan tujuh individu itu untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan KKM melarang merokok di kedai makan.
Dalam permohonan semakan kehakiman yang difailkan pada 31 Dis 2018 dengan menamakan KKM sebagai responden, tujuh lelaki itu yang menubuhkan persatuan dikenali sebagai Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) mahu satu deklarasi bahawa keputusan KKM untuk melarang merokok di kedai makan adalah tidak berperlembagaan.
Mereka mendakwa perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makanan dan kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi seperti kawasan merokok atau memasukkan peruntukan di bawah larangan merokok bagi pengusaha kedai makan untuk menyediakan kawasan larangan merokok mereka sendiri.
KKM mengenakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Jan 2019.
Sementara itu, Bernama melaporkan tujuh individu hari ini gagal mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk merayu bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengenakan larangan merokok di semua kedai makan.
Panel hakim yang terdiri daripada Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zabariah Mohd Yusof, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Datuk Nordin Hassan menolak permohonan untuk mendapat kebenaran itu, dan mengarahkan mereka membayar kos guaman RM30,000 kepada KKM.
Dengan keputusan hari ini, percubaan Mohd Hanizam Yunus, Zulkifli Mohamad, Mohd Laisani Dollah, Mohd Sufian Awaludin, Ridzuan Muhammad Noor, Mohd Yazid Mohd Yunus dan Yuri Azhar Abdollah bagi mencabar larang merokok di kedai-kedai makan oleh KKM yang telah berlarutan selama lima tahun, kini berakhir.
Hakim Zabariah yang mengetuai panel hakim itu berkata persoalanan undang-undang yang dibangkitkan oleh individu berkenaan tidak memenuhi tiga syarat yang diperlukan di bawah Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 bagi mendapat kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan.
Di bawah seksyen berkenaan, pemohon perlu menampilkan persoalanan undang-undang yang baharu, yang mempunyai kepentingan awam, dibangkitkan buat kali pertama.
Dalam keputusan sebulat suara hari ini, Hakim Zabariah berkata persoalan undang-undang mengenai Perkara 5 (kebebasan diri) dan Perkara 8 (semua orang adalah sama di sisi undang-undang) dalam Perlembagaan Persekutuan telah selesai, dan persoalanan undang-undang yang dibangkitkan dalam kes ini tiada kepentingan awam yang memerlukan penghujahan lebih lanjut di Mahkamah Persekutuan.
Pada 31 Dis 2018 tujuh lelaki itu yang menubuhkan persatuan dikenali sebagai Persatuan Pertahankan Perokok (PHP) memohon satu deklarasi bahawa keputusan KKM untuk melarang merokok di kedai makan adalah tidak berperlembagaan.
Menurut mereka, perokok mempunyai hak sama rata dengan golongan tidak merokok untuk mengunjungi dan meluangkan masa di premis makanan dan kerajaan tidak menyediakan kemudahan yang mencukupi seperti kawasan merokok atau memasukkan peruntukan di bawah larangan merokok bagi pengusaha kedai makan untuk menyediakan kawasan larangan merokok mereka sendiri.
KKM mengenakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan berkuat kuasa 1 Jan 2019.
Pada 29 Okt 2019 Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan semakan kehakiman yang dikemukakan tujuh individu berkenaan untuk mendapatkan perintah certiorari bagi membatalkan keputusan KKM melarang merokok di kedai makan, dan pada 23 Nov tahun lepas pula Mahkamah Rayuan menolak rayuan mereka bagi mencabar keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian hari ini, peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili tujuh individu berkenaan menggesa mahkamah membenarkan rayuan, dan menampilkan tiga persoalanan undang-undang untuk diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan.
Salah satu persoalanan yang dibangkitkan adalah sama ada pindaan kepada Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau bagi melarang perbuatan merokok di keda-kedai makan termasuk dalam kawasan tertutup yang dilengkapi dengan pendingin hawa dan kawasan terbuka, adalah bertentangan dengan Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, dibantu oleh Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin, yang mewakili KKM berhujah bahawa larangan merokok di keda-kedai makan memberi kelebihan kepada orang awam, kerana orang ramai menyokong keputusan itu.