Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurusan kes anak YDP Sarawak ditetapkan 15 Ogos

Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menetapkan 16 Ogos sebagai tarikh untuk pengurusan kes bagi satu permohonan injunksi yang difailkan bekas Timbalan Menteri Pelancongan Sulaiman Abdul Rahman Taib terhadap ibu tirinya, Raghad Kurdi Taib.

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai menetapkan tarikh itu selepas mendengar permohonan berkenaan yang turut menamakan RHB Bank Bhd (RHB) sebagai defendan kedua dalam tuntutan.

Prosiding hari ini turut mendengar janji pihak plaintif dan defendan untuk tidak berurusan atau menjual saham sebagaimana yang dinyatakan dalam tuntutan itu, sehingga tamat kes permohonan.

Sulaiman yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Cahya Mata Sarawak Bhd diwakili peguam Alvin Chong dan Jonathan Tay, manakala Raghad diwakili Alvin Yong dan enam yang lain.

RHB pula diwakili oleh Tan Kee Heng dan Lesley Ling Lyn.

Media sebelum ini melaporkan Sulaiman memohon injunksi berhubung pemindahan saham sebuah syarikat swasta kepada Raghad.

Sulaiman yang merupakan anak lelaki kedua Yang di-Pertua Sarawak Abdul Taib Mahmud menerusi perkahwinan pertama beliau dengan Laila Taib yang meninggal dunia pada 29 April 2009.

Abdul Taib berkahwin dengan Raghad pada 18 Dis 2010.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS