mk-logo
Berita
Elaun pelatih industri: Pemuda Amanah sokong PM
Diterbitkan:  Jun 19, 2023 5:02 PM
Dikemaskini: 9:02 AM

Timbalan Ketua Pemuda Amanah Razak Ridzuan menyokong gesaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim agar supaya syarikat mempertimbangkan pemberian elaun kepada pelajar yang mengikuti latihan industri.

Menurutnya, hal ini bagi meringankan beban kewangan yang bakal dihadapi oleh pelajar yang akan menjalani latihan industri.

“Kebanyakannya perlu menampung kos perjalanan dan tempat tinggal sepanjang tempoh mereka menjalani latihan,” katanya di dalam kenyataan.

Pada dasarnya latihan industri bertujuan memberikan pendedahan awal dan langkah persediaan kepada pelajar sebelum mereka masuk ke alam pekerjaan.

Sementara itu, Razak (gambar, atas) berkata dengan mengambil kira tenaga dan sumber yang disumbangkan oleh pelajar latihan industri kepada syarikat, wajarlah diberikan elaun yang munasabah kepada mereka.

“Pemberian elaun ini sudah tentunya memberi motivasi kepada pelajar dalam proses belajar dan menjalani latihan industri di syarikat tersebut,” katanya lagi.

Kata Razak lagi, terdapat situasi pelajar latihan industri menjalani latihan dengan begitu komited dan menyamai kualiti pekerja terlatih lalu memberi nilai tambah kepada syarikat tersebut.

“Justeru, Pemuda Amanah ingin menyatakan sokongan penuh kepada langkah yang sememangnya dinanti-nantikan oleh ramai di kalangan pelajar latihan industri,” jelasnya.

Gambar fail, program dialog PM bersama mahasiswa.

Terdahulu, perdana menteri berkata walaupun kerajaan tidak memaksakan syarat program latihan industri kepada syarikat namun ia wajar menyediakan elaun yang berpatutan kepada pelatih mereka.

Semalam, Menteri Sumber Manusia V Sivakumar berkata kementeriannya akan meneliti isu elaun bagi pelajar yang menjalani latihan industri berikutan laporan beberapa pelatih tidak mendapat elaun.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan seorang pelajar universiti awam yang telah menghabiskan beberapa hari berkempen dengan papan sandwic yang bertulis "intern bukan buruh percuma."

Rashifa Aljunied, 24 (gambar, bawah) bakal menjalani latihan industri pada semester Oktober, bimbang bagaimana dia akan bertahan dalam tempoh itu.

Dengan peningkatan kos sara hidup, Rashifa berkata menjadi satu kemestian bagi pelatih untuk dibayar dan menggesa kerajaan mengeluarkan garis panduan yang jelas mengenai kedudukan pelatih.

Pada 7 Jun lalu, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan memperkenalkan undang-undang baru bagi mewajibkan majikan sektor awam dan swasta membayar gaji pelatih dan mereka yang menjalani latihan industri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS