Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dera kera: 20 Julai tarikh dengar permohonan kebenaran semakan kehakiman

Mahkamah Tinggi menetapkan 20 Julai bagi mendengar tindakan undang-undang oleh kumpulan hak haiwan berhubung keputusan Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kes penyeksaan terhadap sekumpulan anak kera.

Peguam Rajesh Nagarajan, yang mewakili NGO Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup), mengesahkan kepada Malaysiakini tarikh pendengaran permohonan kebenaran bagi semakan kehakiman berkenaan di hadapan hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

Menurutnya, pihaknya sedang dalam proses menyampaikan kertas kausa terhadap tiga responden dalam kes itu iaitu polis, AGC dan kerajaan persekutuan.

Ketika dihubungi, wakil daripada AGC berkata mereka masih belum menerima salinan tindakan undang-undang berkenaan.

Semakan di portal rasmi laman web badan kehakiman itu mendapati tindakan undang-undang oleh NGO itu akan dibicarakan di hadapan Ahmad Kamal di Mahkamah Tinggi (bahagian rayuan dan kuasa khas) di Kuala Lumpur pada 9 pagi 20 Julai.

Sekiranya mahkamah sivil memberikan kebenaran, mahkamah kemudian akan menetapkan tarikh yang berasingan untuk mendengar hujahan lisan mengenai merit semakan kehakiman berkenaan.

Pada Jumaat minggu lepas, Hidup dan wakilnya Dr Kartini Farah Abdul Rahim memfailkan tindakan undang-undang untuk memaksa pendakwa raya mengenakan pertuduhan jenayah terhadap individu yang didakwa menyeksa anak kera terbabit.

Terdahulu pada 24 Mei lalu, peguam itu memberitahu Malaysiakini bahawa AGC enggan memberikan penjelasan mengenai tindakan NFA terhadap laporan polis yang dibuat oleh NGO itu berhubung dakwaan penyeksaan ke atas haiwan berkenaan.

Menurut afidavit menyokong semakan kehakiman itu, Kartini berkata keputusan NFA oleh AGC pada 5 April lalu adalah prosedur yang tidak munasabah dan salah.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS