PKR Terengganu optimis parti itu mempunyai potensi untuk menang di beberapa kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi PKR Terengganu dan Kelantan Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ia berdasarkan rekod prestasi, faktor demografi serta tinjauan dan penyelidikan pihaknya selain sejarah kemenangan di kerusi DUN Bandar.
"Jadi kita minta supaya PKR diambil serius oleh sahabat-sahabat dalam BN...Kita pun ada sejarah di Terengganu, dari awal ditubuhkan kita ada kerusi...bagi kita penting untuk kita ada kehadiran di sini.
"Bagi saya, PKR ada beberapa kelebihan secara amnya, saya tidak boleh sebutkan secara terperinci tapi contohnya di DUN Bandar, pernah menang (2013-2018). Biasanya kerusi PKR ni kerusi agak urban... itu kita rasa kekuatan PKR," katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Temu Mesra di Pejabat PKR Cabang Kuala Terengganu semalam.
Nik Nazmi juga berkata persoalan siapa yang mendapat banyak atau sedikit kerusi tidak sepatutnya timbul sebaliknya apa yang penting ialah parti yang berpeluang untuk menang besar.
Dia berkata proses pengagihan kerusi DUN antara BN dan PH bagi menghadapi PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah mungkin selesai dalam seminggu dua lagi.
Naib presiden PKR itu berkata pihaknya berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin kerana proses pembubaran DUN di negeri terbabit sudah semakin hampir.
Pada PRU14, BN menang 10 daripada 32 kerusi DUN Terengganu manakala bakinya iaitu 22 kerusi dikuasai PAS.
-Bernama