Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ahli Bersatu didakwa disiasat bawah Akta Hasutan
Diterbitkan:  Jun 17, 2023 7:09 PM
Dikemaskini: 11:09 AM

Polis didakwa menyiasat seorang anggota Bersatu di bawah Akta Hasutan 1948 kerana berkongsi hantaran yang mengkritik tokoh veteran DAP Lim Kit Siang di media sosialnya.

Timbalan Ketua Biro Perundangan dan Perlembagaan Sasha Lyna Abdul Latif mendakwa polis dari Bukit Aman telah ke Pulau Pinang untuk menahan individu tersebut.

Dia berkata anggota polis "diberi arahan" untuk menahan dan reman Ketua Penerangan Srikandi Muda Bersatu Pulau Pinang Norhanani Abu Hassan untuk beberapa hari.

Norhanani yang mengandung tujuh bulan turut didakwa di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA).

"Semua peranti miliknya, termasuk telefon dan komputer riba, dirampas dan polis telah mengambil alih akaun media sosialnya yang kini dipantau.

"Polis beritahu Norhanani yang mereka sedang mencari beberapa lagi berkaitan siasatan mereka," kata Sasha dalam kenyataan.

Ketika dihubungi, Sasha berkata seorang lagi anggota Srikandi Muda Bersatu di Besut, Terengganu turut disiasat di bawah Akta Hasutan kerana berkongsi hantaran yang mengkritik Lim.

Dia bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jika ia melibatkan hantaran yang sama.

Malaysiakini telah menghubungi Bukit Aman untuk mendapatkan pengesahan berkenaan perkara ini.

Banyak pertubuhan hak asasi manusia sebelum ini mendakwa Akta Hasutan 1948 dan CMA digunakan untuk menyekat kebebasan bersuara.

Sasha mendakwa siasatan terhadap Norhanani di bawah kerajaan adalah "tindakan hipokrit".

"Sepanjang PH menjadi pembangkang, kerajaan ketika itu sering dikritik kerana guna Akta Hasutan terhadap seteru dan orang awam, dengan menggesa agar akta itu dimansuh.

"Ketika PH jadi kerajaan pada 2018, Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo menggesa agar akta itu dimansuhkan memandangkan ia merupakan pendirian parti itu.

"Kenapa dia dan rakan-rakannya (dalam PH) berdiam diri sekarang?" soalnya.

Sasha turut mempersoalkan jika kerajaan pimpinan PH hari ini telah bertukar nada berhubung Akta Hasutan dan kini menggunakannya terhadap pembangkang dan para penyokongnya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS