Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan dengan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin, ahli ekonomi serta pakar industri petang tadi untuk membincangkan hala tuju ekonomi negara.
Tidak dapat dipastikan peranan yang dimainkan Khairy dalam pertemuan itu.
Khairy dipecat oleh Umno pada akhir Januari yang dilihat sebagai langkah menyingkirkan pengkritik presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden Umno Johari Ghani, yang sebelum ini menjadi menteri kewangan II semasa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak, turut hadir.
Dalam hantaran di Instagram, Anwar berkata pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk mencari idea dan pandangan, daripada semua lapisan masyarakat, mengenai ekonomi negara.
"Perbincangan turut menyentuh bidang pertumbuhan baharu dan kaedah untuk memperkukuh ekosistem pelaburan.
"Segala pandangan yang dikongsikan pastinya akan digunakan untuk membentuk Naratif Ekonomi Madani yang sedang dirangka bagi mencorak hala tuju ekonomi negara dalam tempoh jangka masa sederhana dan panjang," katanya.
Pada Isnin, Anwar berkata naratif ekonomi Madani akan dilancarkan pada Ogos sebagai panduan untuk hala tuju ekonomi negara yang lebih jelas.
Individu lain yang menghadiri mesyuarat itu ialah pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Mohd Effendi Norwawi; pakar ekonomi Dr Nungsari Ahmad Radhi; Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia-Universiti Kebangsaan Malaysia Noor Azlan Ghazali; Ketua Setiausaha Khazanah Johan Mahmood Merican dan ketua setiausaha Kementerian Ekonomi Nor Azmie Diron.
Anwar menambah, pakar ekonomi yang hadir pada mesyuarat hari ini bersetuju bahawa kerajaan mempunyai masa yang terhad untuk mengatasi cabaran yang membelenggu ekonomi negara bagi mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul.
"Saya faham sebarang reformasi atau pembaharuan memerlukan disiplin dan kesabaran. Ia juga memerlukan keyakinan serta keberanian untuk melakukan perkara yang baharu dan membuat keputusan yang berat untuk kepentingan rakyat dan negara.
"Namun Kerajaan ini tekad dan akan bekerja keras untuk memacu pertumbuhan yang inklusif dan mampan.
"Pertumbuhan ekonomi bukan tentang angka semata-mata tetapi mesti menggarap keperluan serta kehendak rakyat," katanya.