Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Gerakan gesa MP PAS mohon maaf pada jururawat
Diterbitkan:  Jun 16, 2023 9:27 PM
Dikemaskini: 1:30 PM

Timbalan Presiden Gerakan Oh Tong Keong menggesa Ahli Parlimen Kuantan dari PAS Wan Razali Wan Nor menarik balik dakwaannya yang menyifatkan pakaian seragam jururawat wanita terlalu ketat, dan memohon maaf kepada petugas kesihatan di negara ini.

Oh berkata pekerja penjagaan kesihatan mempunyai tugas mulia untuk mendedikasikan masa dan tenaga mereka untuk menyelamatkan nyawa, jadi adalah tidak boleh diterima bagi ahli parlimen membuat komen yang menghina tentang pakaian mereka.

Dia berkata komen Wan Razali mengecewakan, dan Gerakan - yang merupakan sekutu PAS dalam gabungan Perikatan Nasional - "sama sekali tidak bersetuju" dengan pendiriannya.

Oh berkata orang ramai hanya pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan atau melawat kenalan serta keluarga yang sakit dan tidak peduli tentang pakaian jururawat.

“Orang ramai pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan, untuk menyelamatkan nyawa. Tiada siapa yang akan memainkan peranan sebagai ‘polis moral’ dengan perspektif agama ekstremis seperti ahli parlimen itu untuk mengambil tahu tentang pakaian pekerja penjagaan kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Kuantan Wan Razali Wan Nor

Semalam, semasa perbahasan parlimen mengenai Kertas Putih Kesihatan, Wan Razali berkata pakaian seragam jururawat wanita terlalu ketat dan tidak patuh syariah. Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor turut menyokong kenyataan itu.

Kenyataannya itu mendapat kritikan daripada ramai pihak termasuk Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden MMA Dr Muruga Rajathurai berkata pakaian seragam itu praktikal dan mematuhi kod pakaian penjawat awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS