Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengerusi Suhakam dikritik lepas cuba saman timbalan setiausaha

Suhakam mendapat kritikan lagi selepas pengerusinya cuba mengheret timbalan setiausaha suruhanjaya itu ke mahkamah, yang disifatkan sebagai sebagai Saman Strategik Menentang Penyertaan Awam (Slapp).

Saman Slapp dianggap sebagai menggunakan undang-undang untuk menapis, menakut-nakutkan, atau menutup mulut pengkritik dengan membebankan mereka dengan kos pembelaan undang-undang.

Pada sidang media di Petaling Jaya hari ini, 16 organisasi mengecam pengerusi Suhakam Rahmat Mohamad kerana menyaman timbalan setiausaha suruhanjaya itu Shahizad Sulaiman bulan lepas.

Ini berlaku susulan Shahizad memfailkan aduan dalaman rasmi pada 10 April terhadap Rahmat berhubung dakwaan diskriminasi kaum dan salah guna kuasa.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy, yang mewakili organisasi berkenaan, berkata pertikaian dalam suruhanjaya itu boleh diselesaikan secara dalaman.

“(Ia) perbuatan yang berkemungkinan sengaja dimulakan dengan niat untuk menakut-nakutkan, mengalirkan sumber kewangan dan menimbulkan tekanan psikologi dan emosi terhadap pengadu asal,” dakwanya.

Pengarah eksekutif Suaram Sevan Doraisamy

Aduan Shahizad difailkan di bawah Seksyen 12 Akta Suhakam 1999 yang memberi kuasa kepada Suhakam untuk bertindak atas usulnya sendiri bagi menyiasat dakwaan pelanggaran hak asasi manusia, di samping bertindak atas aduan yang dikemukakan kepadanya.

Selain menggesa Suhakam mendedahkan langkah-langkah yang diambil untuk menyiasat aduan rasmi itu, 16 pertubuhan itu juga menggesa suruhanjaya itu menubuhkan pasukan petugas khas bebas untuk meneliti dakwaan Shahizad.

Kumpulan itu juga menyarankan Rahmat mengosongkan jawatan sebagai ketua pesuruhjaya sehingga siasatan selesai.

Dalam maklum balasnya, Suhakam berkata saman fitnah itu tidak difailkan atas aduan dalaman tetapi kerana "fitnah yang disampaikan sebelum aduan rasmi difailkan".

Bercakap kepada Malaysiakini, suruhanjaya itu mendedahkan bahawa semasa salah satu mesyuaratnya, ia memutuskan bahawa sebarang aduan dalaman rasmi tidak boleh difailkan di bawah Seksyen 12 Akta Suhakam.

Suruhanjaya itu menjelaskan bahawa ia tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat sebarang aduan yang berkaitan dengan dirinya sendiri, kerana tindakan itu berpotensi menimbulkan konflik kepentingan dan menjejaskan kebebasan suruhanjaya itu.

Bagaimanapun, Suhakam berkata ia komited kepada audit dalaman dan bekerjasama dengan SPRM untuk melantik pegawai integriti dalam institusi itu dengan segera.

Saman fitnah ditarik balik

Di samping itu, Suhakam mendedahkan bahawa Rahmat telah menarik balik saman fitnahnya dan menekankan bahawa semua dakwaan dalam aduan itu akan disiasat secara menyeluruh, tidak kira sama ada ia melibatkan ahli suruhanjaya atau kakitangan Suhakam.

Suhakam turut berikrar komitmennya untuk menghapuskan semua bentuk amalan perkauman dan memastikan ia beroperasi sebagai institusi hak asasi manusia negara yang bebas daripada perlakuan diskriminasi.

“Suhakam akan mempercepatkan penggubalan dasar dalaman berhubung diskriminasi pejabat, gangguan seksual, perlindungan pemberi maklumat dan perkauman dalam tempoh 30 hari dari hari ini.

“Suruhanjaya ini juga berharap tiada pihak yang akan mempolitikkan isu ini dan sebaliknya menumpukan kepada agenda memperkukuh hak asasi manusia di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, 16 pertubuhan itu melahirkan kebimbangan bahawa tindakan saman sedemikian akan menghalang pemberi maklumat tampil, selain menjejaskan kredibiliti Suhakam.

Sambil menyifatkan dakwaan terhadap Rahmat itu sebagai "membimbangkan", kumpulan itu berkata misi teras suruhanjaya itu untuk menegakkan hak asasi manusia mungkin terjejas.

“Pertama, ia mempertaruhkan peruntukan tanpa diskriminasi termasuk asas kaum dalam Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, yang kedua-duanya membentuk asas mandat hak asasi manusia Suhakam.

“Adalah perlu diberi perhatian bahawa dakwaan itu juga mungkin melanggar komitmen Suhakam untuk menangani diskriminasi kaum seperti yang digariskan secara jelas dalam pelan strategik 2021-2025 suruhanjaya itu.

“Kedua, dakwaan diskriminasi kaum boleh menjejaskan status Suhakam sebagai institusi hak asasi manusia negara dengan melanggar prinsip pluraliti dalam komposisi institusi itu seperti yang dinyatakan dalam Prinsip Paris,” kata Sevan.

16 organisasi tersebut ialah:

1) Suaram
2) Aliran
3) Persatuan Bertindak Wanita (Awam)
4) Rakyat Menentang Penghilangan Paksa (Caged)
5) Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ)
6) Justice for Sisters (JFS)
7) Parti Sosialis Malaysia (PSM)
8) Sisters in Islam (SIS)
9) Student Progressive Front UUM (SPFUUM)
10) Suara Siswa UUM
11) Persatuan Belia Baru Tunku Abdul Rahman (Tarany)
12) Amanah Teoh Beng Hock untuk Demokrasi
13) Undi18
14) Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany)
15) Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Tunku Abdul Rahman Kampar 22/23
16) Voice of Youtharian


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS