STM Lottery Sdn Bhd, yang sebelum ini dikenali sebagai Sports Toto Malaysia, mahu bertemu dengan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar (MPKPs) Norazlan Yahaya.
Langkah itu dibuat susulan keputusan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perlis untuk tidak lagi memperbaharui lesen premis judi selepas tamat tempoh operasi tahun hadapan.
Timbalan pengurus besar STM Giam Say Khoon memberitahu Malaysiakini, surat permohonan untuk mesyuarat itu telah disampaikan secara serahan tangan di pejabat MPKPs semalam.
“Kami masih menunggu jawapan majlis dan membuat persediaan apa yang patut,” katanya.
Giam enggan mendedahkan kandungan surat itu.
Exco perumahan dan kerajaan tempatan Perlis Fakhrul Anwar Ismail semalam dilaporkan berkata operasi enam premis perjudian di Perlis tidak akan disambung selepas tamat tempoh pada Mac 2024.
Menurutnya, keputusan itu selaras dengan pendirian PN negeri dan Menteri Besar Mohd Shukri Ramli untuk menghentikan aktiviti perjudian.
Fakhrul Anwar juga berkata langkah itu bukan sesuatu yang mengejutkan atau baharu, memandangkan sudah lama dilaksana di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Semua negeri ini diterajui PAS.
Sports Toto mempunyai empat kedai di Perlis, dua di Kangar dan masing-masing satu di Kuala Perlis dan Padang Besar.
Da Ma Cai dan Magnum pula mempunyai kedai di Padang Besar dan Kangar.
Malaysiakini telah menghubungi Da Ma Cai dan Magnum 4D dan masih menunggu maklum balas mereka.