Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRN: Rundingan kerusi PH, BN masih jadi tanda tanya

Pembahagian kerusi DUN antara PH dan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri masih menjadi teka-teki dengan pemimpin yang hadir terus membisu.

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bagaimanapun berkata perbincangan yang dipengerusikannya berjalan lancar namun tidak dapat mendedahkan perinciannya.

"Tiada komen mengenai butiran tetapi perbincangan berjalan lancar,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat tiga jam itu di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, malam tadi.

Antara pemimpin kerajaan perpaduan yang hadir adalah Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said, Timbalan Setiausaha Agung DAP Liew Chin Tong dan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad.

Rafizi semalam dilapor berkata rundingan akhir berkaitan pembahagian kerusi antara PH dan BN menumpukan kepada kesepakatan parti komponen dalam kerajaan perpaduan bagi menetapkan agihan kerusi DUN.

Enam negeri yang akan mengadakan PRN adalah Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS