Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Isu pengambilan pekerja asing oleh pihak ketiga bukan bidang kuasa JTK'

Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata Jabatan Tenaga Kerja - yang berada di bawah kementerian itu - tiada bidang kuasa untuk bertindak terhadap syarikat yang mendapatkan pekerja asing daripada syarikat pihak ketiga.

Amalan itu melibatkan syarikat yang mendaftarkan diri sebagai majikan tetapi menjadi pembekal pekerja asing kepada syarikat lain dan mengenakan bayaran. Ia dikecam oleh pejuang hak asasi kerana meneruskan amalan buruh paksa.

Kementerian itu juga berkata Jabatan Tenaga Kerja setakat ini tidak mengambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap syarikat itu.

"Bagi isu penyumber luaran (outsourcing), tiada sebarang pendakwaan memandangkan ia bukan di bawah Akta 246 dan bukan di bawah bidang kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM)," katanya dalam jawapan bertulis kepada Malaysiakini.

KSM tidak menjelaskan jabatan atau kementerian mana yang bertanggungjawab terhadap isu tersebut atau jika amalan itu dilarang dalam proses pengambilan pekerja asing di Malaysia.

Jawapan bertulis tersebut sebagai maklum balas kepada soalan daripada Malaysiakini, susulan pendedahannya berkenaan pemerdagangan pekerja asing oleh ejen tidak berlesen.


'Ulat jual orang' - Perhambaan moden masih berleluasa

'Ulat' tawar jual pekerja asing pada agensi berlesen


Siasatan Malaysiakini telah mendedahkan amalan perdagangan hamba zaman moden, di mana ejen mendapatkan pekerja kepada majikan yang terdesak, pada masa sama mendapat bayaran daripada majikan dan komisen berterusan daripada gaji pekerja.

Pengambilan dan pengurusan pekerja asing di Malaysia di bawah tanggungjawab bersama KSM dan Kementerian Dalam Negeri.

Pihak yang berpengalaman dalam industri berkata syarat longgar dalam import pekerja membawa kepada lebihan pekerja dan amalan pemerdagangan. Namun KSM menafikan perkara itu dan menegaskan pemeriksaan menyeluruh tetap dilakukan.

95 syarikat disiasat, tiga didakwa

Walaupun tidak dapat menyiasat amalan penyumber luaran, KSM berkata pihaknya tetap menyiasat syarikat yang menjalankan kegiatan pengambilan pekerja asing tanpa lesen.

Sejak 2019, tiga pendakwaan telah dibuat, membawa kepada dua sabitan dengan denda berjumlah RM21,000. Satu kes lagi berlaku di Selangor dan sedang berjalan, katanya.

"Daripada 95 syarikat yang disiasat, 43 daripadanya telah dicadangkan untuk ditarik balik nnkelulusan kuota mereka disebabkan oleh tidak patuh syarat kelulusan dan pelanggaran akta-akta," kata KSM.

Tidak jelas sama ada syarikat yang terlibat itu ejen pekerja berlesen atau tidak, dan sama ada penempatan pekerjaan melibatkan pekerja asing sahaja atau turut melibatkan tenaga kerja tempatan.

Di bawah 246, syarikat yang menjalankan kegiatan pengambilan dan penempatan pekerja tanpa lesen boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM200,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Pada awal tahun ini, ratusan pekerja asing, terutama dari Bangladesh dan Nepal, tersadai selama beberapa bulan tanpa diberi pekerjaan.

Berhubung masalah itu, KSM berkata pihaknya telah 572 warga asing tersebut, merangkumi sektor pembuatan dan pembersihan.

Bagaimanapun, KSM berkata pihaknya tidak terlibat dalam mendapatkan pekerjaan untuk mereka.

KSM juga menjelaskan hanya agensi pekerjaan berlesen yang diberi hak di bawah Akta 246 untuk mengambil dan menempatkan pekerja asing.

"Akta 246 adalah khusus untuk agensi pekerjaan swasta untuk menjalankan aktiviti pengambilan pekerja asing ke Malaysia, manakala aktiviti agensi kerajaan tidak tertakluk dibawah akta ini," katanya lagi.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS