Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada apa dengan Ebit santuni Mondy?
Diterbitkan:  Jun 15, 2023 8:22 PM
Dikemaskini: 12:24 PM

Pengguna media sosial tampil mempersoalkan tindakan personaliti terkenal, Ebit Liew, yang memuat naik usaha membantu ‘gelandangan’ Indonesia ketika individu terbabit didapati seorang pempengaruh (influencer).

Bahkan wanita itu juga memiliki kira-kira sejuta pengikut di TikTok.

Perhatian tertumpu ke Ebit selepas dia memuat naik gambar dan video memaparkan pertemuannya dengan ibu tunggal dikenali sebagai Mondy itu.

Penampilan wanita muda itu - yang dipanggil adik oleh Ebit - juga pantas menarik perhatian, antara lain kerana imej punk serta tatu pada tubuhnya termasuk di bahagian muka serta memakai pendakap gigi.

“Rezeki bertemu Mondy ibu tunggal 21 tahun di Jakarta yang menyara anak kecil 4 tahun seorang diri.

"Wajahnya penuh tatoo termasuk dalam matanya penuh tatoo. Cantik dan baik adik ni. Kehidupan anak punk jalanan.

"Dari kecil hidup susah dan di jalanan. Masa kami mula sampai Mondy asyik menangis terharu. Dia baru keluar dari rumah sewa tak mampu bayar tidur dijalanan.

“Saya tanya adik nak kerja. Dia kata ada ke orang nak ambil saya kerja? Insya-Allah kami cuba carikan," kata Ebit melalui hantaran tersebut.

Dia juga mendakwa Mondy menangis setelah diberikan baju dan tudung, sementelah dia dikatakan mahu menjadi hamba tuhan yang baik.

"Baik adik ni. Allahuakbar,” katanya.

Hantaran itu turut disertakan dengan beberapa keping gambar memaparkan Mondy terbaring di tepi jalan beralaskan kotak ketika disantuni figura terkenal berkenaan.

Ebit kemudian menghadiahkan Mondy jubah selain turut membawanya ke Malaysia.

Susah celah mana

Mondy dilihat menukar penampilannya dengan berjubah dan bertudung.

Bagaimanapun netizen mendedahkan status Mondy sekali gus meragui kebenaran yang ada di sebalik usaha dibuat Ebit.

Semakan akaun TikTok miliknya @mondy_tatto mendapati video-video diuat naik di situ merekodkan lebih 10 juta suka.

Malah terdapat juga video yang memaparkan wanita itu memperagakan pakaian pengantin dengan solekan indah.

Selain komen-komen yang memuji ramai pengguna Facebook mempersoalkan tindakan Ebit menyantuni individu berkenaan.

Influencer buat paid review bagai, susah dan di jalanan celah mana?” soal pengguna Facebook.

“Ini kan influencer punk di Indonesia, susah? Hai tukang edit Ebit Liew punya page tak buat homework ke? Awek ni bukan susah macam yang digambarkan dia lagi masyuk kot.

"Influencer punk yang bergaji. Harap-harap follower jangan bodoh sangat kena perdaya,” dakwa seorang yang lain.

Sementara itu Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan lanjut daripada Liew dan Mondy berhubung perkara itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS