Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahathir momokkan DAP lagi untuk ingatkan 'Melayu bosan’ menjelang PRN
Diterbitkan:  Jun 15, 2023 4:37 PM
Dikemaskini: 8:42 AM

Dr Mahathir Mohamad berterusan menjadikan DAP sebagai bahan momokan bagi menyemai ketakutan di kalangan pengundi Melayu menjelang pilihan raya bagi enam negeri.

Ini bukan kali pertama, pemimpin berusia 98 tahun itu berbuat demikian.

DAP telah sejak sekian lama menjadi sasaran Mahathir, dengan dilemparkan dengan pelbagai tuduhan berbaur perkauman. Namun ini terhenti seketika apabila dia membentuk pakatan dengan Pakatan Harapan selepas pilihan raya umum 2018.

Ketika itu, bekas perdana menteri tersebut, ketika bercakap mengenai tuduhannya terhadap DAP pada masa lalu, berkata bahawa ia adalah amalan lazim dalam politik.

“Jika kita mahu menang, kita mesti memburukkan lawan. Mereka juga buat perkara sama terhadap saya,” katanya.

Sejak berpatah arang dengan Pakatan Harapan (PH), dan kini menyokong Perikatan Nasional, yang pengerusinya Muhyiddin Yassin pernah dilabelkannya sebagai "pengkhianat", bekas perdana menteri kembali kepada cara permainan lamanya.

Dalam hantaran terbarunya di media sosial, Mahathir mendakwa DAP mempunyai "pengaruh amat kuat" dalam kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Kesimpulan itu menurut, Mahathir yang tewas dan hilang wang pertaruhannya pada PRU15 lalu adalah berpunca daripada kononnya peratusan pengundi Melayu yang rendah.

“Sebelum PRU15 terdengar berita angin bahawa orang Melayu sudah bosan dengan politik.

“Benarkah?

“Dalam PRU15, 75 peratus sahaja dari pengundi Melayu keluar mengundi. Apakah ini bermakna 25 peratusMelayu bosan (dengan politik)?

“Tetapi 95 peratus dari orang Cina keluar mengundi. Apakah ini bermakna orang Cina tidak bosan dengan politik di Malaysia? Apakah ini bermakna mereka berminat dengan politik. Mengapa?” soalnya.

Mengimbas kembali semasa pilihan raya umum ke-14, Mahathir berkata bahawa DAP telah memenangi 42 kerusi parlimen, sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, yang disifatkannya sebagai sokongan daripada pengundi Melayu yang tidak berpuas hati.

“Sebab - Pengundi Melayu dari parti Bersatu, yang benci dengan (bekas perdana menteri) Najib (Razak), beri undi kepada DAP.

“Pada PRU15 Bersatu tidak lagi bersama dalam PH. Sudah tentu DAP tidak dapat undi Melayu,” kata Mahathir yang juga adalah bekas pengerusi Bersatu.

Pada masa yang sama, Mahathir berkata DAP masih berjaya memenangi 40 kerusi pada pilihan raya umum lalu walaupun Bersatu tidak lagi menjadi sebahagian daripada gabungan PH.

“Sebab? Kerana 95 peratus orang Cina keluar undi.

“Orang Cina tidak bosan. Hasilnya PH yang lebih ramai bukan Melayu memperolehi 82 wakil rakyat.

“Sementara orang Melayu yang jadi majoriti penduduk di Malaysia dapat hanya 73 wakil rakyat,” katanya.

Mahathir, yang mengetahui bahawa “kira-kiranya” itu akan diteliti, juga menambah kaveat atau pengecualian yang menyatakan bahawa angka itu tidak termasuk “Melayu PKR, Amanah dan DAP."

Kesimpulannya, bekas perdana menteri itu berkata memandangkan DAP, dengan 40 kerusi, adalah parti politik terbesar dalam kerajaan, tentunya “pengaruh DAP dalam kerajaan unity amat kuat”.

Semasa naratif mengelirukan mengenai komposisi etnik kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mula disebarkan selepas pilihan raya lalu, Malaysiakini melakukan semakan fakta yang menunjukkan bahawa sebahagian besar ahli parlimen terdiri daripada golongan bumiputera Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS