Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Penstrukturan sistem kesihatan mesti diketuai PM atau akan gagal’

PARLIMEN l Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlu mengepalai dan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap langkah penstrukturan semula sistem kesihatan di negara ini, kata bekas menteri kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Jika tidak, Dzulkefly berkata dia bimbang bahawa penstrukturan semula itu akan gagal sebelum dilaksanakan.

“Komitmen bukan saja datang daripada menteri kesihatan, saya letakkan andainya perdana menteri tidak mengetuai perubahan, tidak mengambil kepimpinan untuk memastikan pembaharuan ini berlaku dan menyediakan peranan yang berwawasan dan kepimpinan, saya takut (pembaharuan) akan lemas ketika dalam kandungan.

“Saya tekankan bahawa tidak kurang daripada perdana menteri sendiri wajar dan wajib menyediakan dalam perkara ini dan ia mesti dipandu serta diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bersama-sama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan lain-lain kerana kita tahu kesihatan ini rentas semuanya,” kata Dzulkefly semasa perbahasan Kertas Putih di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Kuala Selangor itu juga membangkitkan isu pembiayaan kesihatan, dengan menyatakan bahawa sebahagian daripada cadangan pembaharuan kesihatan termasuk mendapatkan sekurang-kurangnya lima peratus daripada KDNK negara.

Bagaimanapun, Dzulkefly berhujah bahawa ini akan memberi tekanan besar kepada dana disatukan berasaskan cukai.

Menurut Dzulkefly, sekiranya pembiayaan kesihatan hanya bergantung kepada KDNK, negara perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya RM30 bilion setiap tahun dalam tempoh lima tahun akan datang untuk tujuan itu.

Dzulkefly berkata walaupun penjagaan kesihatan adalah penting untuk negara namun masih terdapat banyak lagi sektor lain yang memerlukan pembiayaan awam yang besar seperti sektor pendidikan dan sosial.

Katanya, Malaysia juga tidak berbelanja dengan cekap untuk penjagaan kesihatan awam dan oleh itu sebahagian daripada pembaharuan harus termasuk mendapatkan Kementerian Kesihatan untuk menjadi pembeli strategik dalam perkara ini.

Bagi mencapai matlamat ini, katanya, pembiayaan penjagaan kesihatan mesti datang bukan sahaja daripada KDNK tetapi juga daripada penyatuan semua sumber lain yang mungkin, sama ada insurans majikan-pekerja, endowmen, wakaf, zakat dan sebagainya.

“Kita hanya mampu melaksanakan reformasi ini jika kita mempunyai pembiayaan dalam sesuatu seperti dana kesihatan negara yang disatukan daripada semua sumber.

“Dari situ, Kementerian Kesihatan akan mempunyai keupayaan untuk menjadi pembeli strategik dan apabila mereka membeli perkhidmatan sama ada daripada sektor awam atau swasta, ia sama sekali akan menggalakkan persoalan dikotomi antara awam dan swasta… dan menjadi cekap dan berkesan.

Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin dalam perbahasannya juga menegaskan bahawa Kertas Putih tidak menyatakan siapa yang akan menjadi pembeli strategik.

“Kertas Putih tak rinci siapa akan jadi pembeli strategik. Saya mohon kerajaan beri penjelasan terperinci termasuk struktur tadbir urus,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS